Ismail Sabri nafi langgar SOP


Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaacob nafi langgar SOP PKPB susulan gambar makan semeja dengan pemimpin politik Melaka tersebar di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

MENTERI kanan keselamatan Ismail Sabri Yaacob menafikan tuduhan beliau sendiri melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas gambar beliau di meja makan bersama pemimpin politik Melaka tersebar di media sosial.

Katanya, gambar beliau bersama Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Ab Rauf Yusoh sudah “menjadi bahan fitnah”.

“Kononnya tiada penjarakan sosial antara kami.

“Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan. Namun inilah gambar sebenarnya,” tulisnya di Facebook, sambil memaparkan gambar dari sisi yang lain.

“Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” tambahnya.

Jelas Ismail Sabri, gambar beliau yang tersebar itu dirakam semasa lawatan kerjanya ke Melaka pada Sabtu lalu.

Beberapa komen di media sosial termasuk oleh aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza mempersoalkan naib presiden Umno itu yang didakwa tidak mematuhi SOP apabila duduk beramai-ramai di sebuah meja dan tidak mengenakan pelitup muka.

Ismail Sabri pada 15 Oktober mengumumkan peraturan maksimum empat orang semeja apabila makan di restoran sepanjang pelaksanaan PKPB.

PKPB ditamatkan di Melaka pada 21 November lalu selepas dikuatkuasakan sejak 9 November. Penarikan balik itu dibuat serentak bagi Terengganu serta sebahagian Kedah, Johor, dan Sarawak. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen