WHO gesa Brazil, Mexico lebih serius bendung Covid-19


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mahu Brazil dan Mexico lebih serius membendung penularan Covid-19 yang semakin memburuk di dua negara itu.– Gambar EPA, 1 Disember, 2020.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menggesa Brazil dan Mexico lebih serius membendung penularan Covid-19 yang semakin memburuk di dua negara itu.

Kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di kedua-dua negara terbabit melonjak ketika gelombang kedua pandemik melanda sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Brazil perlu lebih serius,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita semalam, sambil menegaskan situasi di negara itu membimbangkan.

Beliau turut menyuarakan gesaan sama kepada Mexico, yang disifatkan juga dalam situasi buruk.

“Angka kes meningkat, begitu juga kematian… kami menggesa Mexico juga lebih serius.”

Brazil antara negara paling teruk terjejas di dunia akibat pandemik Covid-19 selepas Amerika Syarikat, dengan lebih 172,000 orang maut.

Brazil yang mempunyai 212 juta penduduk melaporkan lebih 1,000 kes kematian sehari sejak Jun hingga Ogos.

Di Mexico pula, jumlah kematian setakat 20 November lalu mencecah lebih 100,000 kes.

Hujung minggu lalu, negara itu mencatat lebih 12,000 kes jangkitan Covid-19 dalam sehari. – AFP, 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen