55 masjid, surau di Batu Pahat ditutup 14 hari


Aktiviti di semua masjid dan surau di Batu Pahat ditangguhkan dengan 55 masjid dan surau ditutup dua minggu susulan lonjakan kes Covid-19 di daerah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

SEBANYAK 55 masjid dan surau di Batu Pahat ditutup sementara mulai kelmarin dan semalam susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata solat fardu, solat Jumaat dan segala aktiviti keagamaan yang melibatkan ahli kariah di rumah ibadat berkenaan ditangguhkan buat sementara.

Beliau berkata kesemua masjid dan surau itu ditutup selama 14 hari atau sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Berikutan berlakunya peningkatan kes yang berpunca daripada penularan wabak Covid-19 di masjid dan surau di daerah ini…maka beberapa masjid dan surau terpaksa ditangguhkan aktiviti buat sementara.

“Semua masjid dan surau yang tersenarai ini dikategorikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat sebagai berisiko kepada ahli kariah,” katanya menambah secara keseluruhan terdapat 180 masjid dan surau di daerah itu.

Terdahulu, satu notis berkenaan pemberitahuan penangguhan aktiviti di kesemua masjid dan surau tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat. 

Batu Pahat kini merupakan Zon Merah dengan 161 kes aktif setakat hari ini. – Bernama, 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen