Vietnam lapor kes penularan tempatan pertama sejak 3 bulan 


Vietnam berjaya menyekat gelombang jangkitan koronavirus pertamanya pada April dan hampir 100 hari tanpa penularan tempatan sehingga virus itu muncul kembali dan dengan cepat dibendung di bandar Danang pada Julai. – Gambar EPA, 30 November, 2020.

VIETNAM hari ini mengesahkan kes koronavirus penularan tempatan pertama sejak hampir tiga bulan, apabila seorang lelaki mempunyai kontak rapat dengan pramugari yang disahkan positif selepas pulang dari Jepun dua minggu lalu, lapor The Straits Times.

Menteri kesihatan negara itu memerintahkan wilayah dan agensi negeri memperketatkan pemeriksaan dan kawalan serta usaha mengesan kontak dilancarkan selepas lelaki berusia 32 tahun itu disahkan sebagai jangkitan tempatan pertama yang dilaporkan dalam tempoh 89 hari.

Dengan langkah kuarantin dan pengesanan yang ketat, Vietnam berhasil dengan cepat mengekang wabak koronavirus, yang membolehkan ia meneruskan kegiatan ekonominya lebih awal berbanding kebanyakan negara Asia.

Vietnam berjaya menyekat gelombang jangkitan koronavirus pertamanya pada April dan hampir 100 hari tanpa penularan tempatan sehingga virus itu muncul kembali dan dengan cepat dibendung di bandar Danang pada Julai.

Pihak berkuasa berkata suspek kes terbaharu itu mengajar di pusat pembelajaran bahasa dan pernah mengunjungi kafe serta bar karaoke sejak mempunyai kontak rapat dengan pramugari berkenaan. Kesemua tempat itu telah ditutup.

Vietnam setakat ini mencatatkan 1,347 kes koronavirus, 655 di antaranya melibatkan kes import. – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen