Pekerja dikuarantin atau bergejala tidak dibenarkan bekerja, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan penularan Covid-19 di tempat kerja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

MEREKA yang masih dikuarantin atau bergejala tidak dibenarkan untuk bekerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Jawapannya tidak boleh kerana kita tidak tahu bila mereka akan didapati positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat cadangan untuk mewujudkan gelembung hijau di tempat kerja agar kakitangan yang dikenakan kuarantin masih boleh bekerja terasing daripada mereka yang dijangkiti.

“Tempoh inkubasi adalah 14 hari dan apabila mereka menjadi positif mereka boleh jangkiti seluruh kilang,” katanya.

Beliau berkata, pesakit indeks kluster Sivagangga sebagai contoh. Beliau kembali bekerja ketika sedang dikuarantin selepas didapati negatif pada ujian calitan pertama. Beliau kemudian menjadi punca kluster selepas menjangkiti 45 individu.

Sementara itu, mengenai kes positif dalam kalangan pekerja di beberapa kilang yang dikaitkan dengan kluster Teratai yang didiscaj, Dr Noor Hisham berkata pesakit itu didiscaj selepas selesai menjalani rawatan selama sepuluh hari.

Ini termasuk tempoh dikenakan kuarantin.

Beliau berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit yang bergejala dan menjalani rawatan selama sepuluh hari boleh didiscaj.

Beliau menjelaskan mereka mungkin positif, mereka tidak lagi boleh menjangkiti.

Top Glove Corp Bhd baru-baru ini berkata 500 pekerjanya telah didiscaj dari hospital selepas menerima rawatan selama enam hari. – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen