DUA kawasan di Ipoh, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 1 Disember berikutan peningkatan kes Covid-19.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, dua kawasan terbabit adalah Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah, kedua-duanya di Ipoh.
Jangkitan membabitkan pekerja di dua kilang iaitu kilang Kamaya dan kilang Salutica.
“Berdasarkan penilaian risiko, jangkitan menular ke asrama mereka. Setakat ini 1,402 pekerja dari kilang Kamaya disaring dan 228 disahkan positif.
“Daripada 228 kes, 110 adalah pekerja yang tinggal di Zon A, Taman Klebang Jaya, Ipoh.
“Bagi pekerja kilang Salutica, 119 individu didapati positif.”
PKPD di Taman Klebang membabitkan 1,061 rumah dengan 4,244 penduduk manakala Taman Pinji Mewah, 1,430 rumah terlibat, 44 unit rumah kedai dengan 5,720 penduduk, kata Ismail Sabri.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di pusat tahanan sementara di Sibuga, Sandakan dan juga di Kg Desa Bajau dan Kg Dasar Baru, Lahad Datu di Sabah.
“Di PTS Sibuga, Sandakan, pegawai kesihatan menjalankan ujian saringan ke atas 324 individu dan 104 daripada mereka disahkan positif. Ia melibatkan tahanan dan kakitangan di PTS berkenaan.
“Berdasarkan penilaian risiko, Putrajaya bersetuju mengenakan PKPD di PTS selama 14 hari dari 2 Disember hingga 15 Disember.”
Bagi Kg Desa Bajau dan Kg Dasar Baru di Lahad Datu, 665 ujian dibuat dan 90 kes positif dikesan.
“PKPD juga akan dikuatkuasakan selama 14 hari sehinga 15 Disember. PKPD melibatkan 914 rumah dan 4,934 penduduk,” katanya. – 30 November, 2020.
Komen