PERINTAH kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove di Klang dilanjutkan hingga 14 Disember, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata masih banyak kes Covid-19 positif baharu di kalangan pekerja sama ada tempatan dan asing.
“Pada awalnya, PKPD di asrama adalah dari 17 hingga 30 November. Setakat ini, 5,805 orang sudah diperiksa dan 3,406 didapati positif.”
“Angka masih tinggi dan ada kes baharu daripada ujian saringan kedua.
“Oleh itu, kami bersetuju melanjutkan PKPD dari 1 Disember hingga 14 Disember,” kata Ismail Sabri.
Kilang dan tempat tinggal pekerja Top Glove termasuk dalam kluster Teratai, yang mengatasi kluster Tabligh Sri Petaling dari segi jumlah kes.
Kluster itu dikesan pada 2 November apabila sekumpulan pekerja asing diperiksa sebagai persediaan untuk berlepas. Penemuan 10 kes positif mendorong kepada pengesanan kontak.
Pengerusi Eksekutif Top Glove, Lim Wee Chai berkata kira-kira 7,000 daripada 13,000 tenaga kerja, baik tempatan dan asing sudah diperiksa untuk Covid-19.
Beliau berkata kira-kira 3,000 daripadanya didapati positif.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata semua pekerja di kilang sarung tangan terbesar di dunia itu perlu menjalani ujian Covid-19 di mana-mana klinik swasta yang dipantau oleh pejabat kesihatan daerah.
Beliau menjelaskan jika bukan warganegara diuji negatif, individu berkenaan akan dikuarantin di pusat, manakala pekerja tempata boleh menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Semua pekerja akan ditempatkan di bawah pengawasan dan perintah pemerhatian di rumah (HSO) selama empat belas (14) hari, memakai gelang dan juga menjalani pemeriksaan ulangan pada hari ketiga belas (13).
“Bagi mereka yang didapati positif, jika bukan warganegara Malaysia, akan dihantar ke Stesen Kuarantin (QS) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di asrama kilang sementara untuk rakyat Malaysia, mereka akan dihantar ke hospital.”
Ismail Sabri juga berkata kos pemeriksaan Covid-19 termasuk keperluan menyediakan dan menguruskan PKRC dan stesen kuarantin, makan minum, penginapan pekerja serta pengangkutan ke PKRC dan stesen kuarantin akan ditanggung oleh pihak majikan. – 30 November, 2020.
Komen