KERAJAAN Pulau Pinang hari ini meminta kerajaan Persekutuan sediakan pelan kontingensi dalam pelaksanaan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing bersasar di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Sabah serta Labuan yang dijadual bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan Persekutuan perlu ada perancangan dalam pelaksanaan usaha tersebut agar ia dapat berjalan dengan sempurna.
“Persoalannya adakah kita mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menjalankan saringan dan sudahkah sektor berisiko dikenal pasti? Saya ingin minta kerajaan Persekutuan kalau boleh, kenal pasti sektor-sektor yang berisiko tinggi dan berikan keutamaan kepada sektor itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wadda Gurdwara Sahib hari ini.
Beliau turut meminta kerajaan Persekutuan dapat memberikan subsidi dalam kos ujian saringan Covid-19 kepada majikan yang berkemampuan.
Katanya, usaha itu harus dilakukan dengan cara yang ketat agar keputusan yang diterima nanti akan tepat.
“Setakat ini, sejumlah 23,159 ujian saringan Covid-19 dijalankan di negeri ini dan lebih 15,000 daripadanya melibatkan pekerja asing,” katanya.
Sehingga hari ini, Pulau Pinang mempunyai 13 kluster aktif dengan jumlah kes 1,884. – Bernama, 30 November, 2020.
Komen