Kemiskinan hidup ubah saya, kata Ebit Lew


Alfian Z.M. Tahir

Ebit Lew membantu seorang pelanggan OKU yang membeli barang di kedai runcitnya, di Setia Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, – 3 Disember, 2020.

EBIT Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew bukan orang yang tidak biasa dengan kemiskinan.

Lahir dalam sebuah keluarga besar 11 adik beradik di Muadzam Shah, Pahang Lew memberitahu The Malaysian Insight beliau hidup susah sepanjang membesar.

Beliau sering tidur dalam keadaan perut lapar dan ada masanya beliau hanya ada sepasang uniform sekolah yang dipakai sepanjang tahun persekolahan, lengkap dengan sepasang stoking yang berlubang.

“Saya bukan dari keluarga kaya. Ada satu masa itu, keluarga saya bankrap. Saya hanya ada sepasang uniform sekolah yang saya pakai hari-hari. Stoking saya sampai berlubang dan ibu bapa saya tidak mampu bayar yuran sekolah saya,” kata Lew, 36.

“Membesar dalam kemiskinan, saya terima banyak bantuan daripada ramai orang, termasuk mereka yang tidak saya kenali.

“Saya tau apa rasanya jadi miskin dan kelaparan. Dan saya tahu apa rasanya untuk memberi kepada orang lain, terutama kepada yang miskin dan terpinggir,” katanya.

Graduan dari Universiti Putra Malaysia itu cukup mudah dikenali dengan janggutnya, serban dan kurta selain pendekatannya yang mudah mesra terhadap golongan miskin dan terpinggir, termasuk daripada kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Ebit mempunyai syarikat motivasi, butik pakaian, 18 kedai runcit dan empat restoran di Lembah Klang.

Beliau semakin terkenal kerana kerja amalnya ketika pandemik Covid-19. Beliau pernah menghantar 10 tan bekalan makanan ke Sabah menggunakan pesawat yang disewanya dan memberikan bekalan perubatan kepada hospital kerajaan.

Penceramah bebas Ebit Lew berkata beliau guna hasil pendapatan daripada perniagaannya dan jualan bukunya, selain sumbangan orang awam untuk bantu golongan yang memerlukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, – 2 Disember, 2020.

Baru-baru ini beliau menyumbang 200kg daging dan 500kg buah-buahan dan sayuran ke Zoo Negara selepas pihak berkuasa zoo memohon bantuan, kerana kehaisan dana untuk menjaga haiwan.

Ketika krisis bekalan air di Selangor, beliau membekalkan dua lori tangki air kepada penduduk terjejas di Batu Caves.

Ebit berkata beliau memperoleh dana daripada jualan beberapa buku motivasi yang ditulisnya dan sumbangan daripada orang awam, untuk menjalankan kerja amal.

Katanya, beliau tidak pernah meminta orang ramai memberi sumbangan untuk kerja amalnya kerana tidak mahu menimbulkan tanggapan salah.

“Saya gunakan wang daripada perniagaan saya. Ia seperti amal jariah, tetapi kemudian orang ramai mula bertanya saya bagaimana mereka boleh turut sama menyumbang.

“Walaupun saya menolak, mereka kerap meminta nombor akaun bank saya. Jadi bagi mengelak salah pengurusan dan salah guna, saya buka satu dana, akaun untuk orang ramai beri sumbangan,” katanya.

Ebit mula membuat kerja amal ketika berusia 12 tahun apabila beliau menyertai satu kumpulan jemaah untuk membantu golongan terpinggir.

“Pada usia 12 tahun, saya buat keputusan untuk ikut kumpulan daripada jemaah saya untuk buat amal. Saya tidak akan ada di rumah pada hujung minggu atau cuti sekolah.

“Saya akan ikut pergi membantu masyarakat Orang Asli atau ke kawasan pedalaman di mana kami membantu bina tandas dan baiki rumah mereka.

“Itulah masanya saya diperkenalkan kepada kerja amal dan mulai faham bahawa kita perlu tolong mereka yang memerlukan.

“Hidup kita terlalu singkat dan kita tidak dapat bantu semua orang. Apa yang kita boleh buat ialah tolong sebanyak mana yang kita mampu.

“Kita perlu jadi contoh untuk orang lain,” katanya. – 3 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen