New York buka semula sekolah rendah


New York benarkan sekolah rendah dibuka semula 7 Disember ini. – Gambar AFP, 30 November, 2020.

SEKOLAH rendah di New York akan dibuka semula 7 Disember ini, walaupun kes Covid-19 sedang melonjak, umum Datuk Bandar Bill de Blasio semalam.

Selain itu, kelas persendirian bagi pelajar berkeperluan khas untuk semua peringkat umur juga akan dibuka semula, kata de Blasio.

Pengumuman itu dibuat susulan ibu bapa yang bekerja sukar mencari penjaga anak di rumah, selain data menunjukkan kadar jangkitan yang rendah dalam kalangan kanak-kanak.

New York sebelum ini mengarahkan sekolah ditutup jika kadar kebolehjangkitan Covid-19 melebihi 3% dalam tempoh seminggu. Kadar kebolehjangkitan di bandar raya itu ketika ini berada pada 3.1%.

Datuk bandar New York itu berkata sekolah dibenarkan buka semula kerana terdapat “banyak bukti” bahawa sekolah adalah tempat paling selamat untuk kanak-kanak.

Murid juga katanya perlu menjalani ujian Covid-19 setiap minggu.

Gabenor New York Andrew Cuomo mengalu-alukan pembukaan semula sekolah rendah.

“Hampir semua pakar berkata sekolah harus dibenarkan buka kerana sekolah adalah kawasan yang selamat.”

Kelas bagi murid sekolah menengah, kecuali kelas bagi murid berkeperluan khas, kekal secara dalam talian. – AFP, 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen