Mitos guru pukul anak murid


ZF Zamir

LAGU Ya Sidi oleh Orange Blossom dari siri political thriller Netflix Original berjudul Marseille dari Perancis, sedang berbunyi di belakang ketika aku sedang scroll Facebook feed dan ketemu dengan artikel tersebut. Tajuknya berbunyi Hewan Merotan Anak karangan Faisal Tehrani.

Aku yang sedang bersantai depan televisyen bingkas bangun dan membuka laptop. Fail Microsoft Word mengenai sekolah jalanan di Dhaka yang sepatutnya aku siapkan dan hantar hari ini kepada Editor aku simpan ke tepi, dan lantas menaip karangan ini.

Aku cuba membaca tulisan Faisal, seorang guru, juga seorang teman paling rapat denganku dalam bahasa seorang ayah yang mahu melindungi anaknya. Atau seorang penggerak hak asasi manusia dan kanak-kanak yang mahu mendidik masyarakat.

Walau bagaimanapun aku fikir berbicara mengenai hak kanak-kanak dalam kerangka hak asasi manusia ataupun Pertubuhan Bangsa Bersatu ketika meletakkan kesalahan total kepada guru yang memukul anak muridnya boleh menyebabkan perbincangan tersasar jauh.

Kata Faiez, yang juga teman rapat dan bertahun-tahun mengajar di sekolah: “Cikgu Azizan adalah simbol guru yang masih ambil kisah dengan anak murid.”

Ada satu sisi yang tidak kita bincangkan di sini iaitu guru juga manusia, punya emosi dan punya perasaan. Jadi sisi kemanusiaan seorang guru ini tidak diangkat. 
Kata Faiez lagi: “Kalau kita, masyarakat mahu menangkan SOP dan mengenepikan guru dan sisi kemanusiaan mereka, maka guru lain akan jadi guru ‘25 haribulan’.”

Aku termenung panjang  sebelum Faiez menyambung.

“Anak nakal ni 5% ke 10% saja daripada jumlah seluruh murid di sekolah. Tapi mereka ini ada kekuatan untuk mempengaruhi anak-anak lain. Bayangkan kalau kita tak urus 5% ke 10% ini, majoriti anak lain akan terpengaruh. Jadi bagaimana?”

Aku membaca semula artikel Faisal sebelum Whatsapp dari Raihan masuk. Raihan adalah seorang peguam, pasti dia punya sudut pandang yang berbeza dari aku dan Faiez. Aku teruja.

“Isunya lain-lain. Satu di sekolah, satu lagi di rumah.”

Raihan merujuk kepada artikel Faisal yang terang-terangan berkempen mengenai larangan memukul anak. Aku sendiri secara peribadi melihat ianya sukar untuk dilaksanakan. Seorang bapa misalnya mungkin mempunyai 5 anak di rumah, sedangkan seorang guru perlu mengurus sehingga 40 anak pada satu masa, atau beribu anak untuk satu sekolah.

Aku mengulang baca tulisan Faisal untuk kali yang kelima dan mengurut dahi sebelum Whatsapp dari Raihan masuk lagi.

“Aku percaya penyelesaiannya ialah saiz kelas. Kita sepatutnya mengubah fokus perbincangan dari pukul atau tidak kepada sesuatu yang lebih konkrit.”

Tanda seseorang sedang menaip timbul di atas papan Whatsapp dan aku pasti Raihan masih belum habis.

“Misalnya, Kerajaan sepatutnya membina lebih banyak sekolah dan lebih banyak kelas. Guru seharusnya mempunyai pembantu, bukan dibebankan dengan kerja perkeranian.”

Aku membaca luahan Raihan sambil meminta Nasima kemudiannya, salah seorang penyelidik kecil dalam NGO TFTN kami untuk mengulang semak data mengenai jenayah remaja.

Menurut laporan Berita Harian bertarikh 27 September 2017, untuk tahun 2016 sahaja sebanyak 826 kes dadah oleh remaja 13 hingga 18 tahun direkodkan. 
Manakala sebanyak 5,944 kes jenayah membabitkan remaja termasuk rogol, samun, curi motorsikal, ragut serta pecah rumah. Untuk enam bulan pertama 2017 sahaja, 193 kes dadah direkodkan membabitkan remaja dengan 2,784 kes jenayah.

Manakala laporan Utusan Malaysia pada 12 Julai 2017 menyatakan sebanyak 402 sekolah menengah & rendah sedang dalam pemerhatian berikutan isu disiplin pelajar serius. 

Laporan itu juga menyatakan sebanyak 111,895 murid iaitu 16,849 murid sekolah rendah dan 95,046 murid sekolah menengah terlibat dengan gejala salah laku disiplin pada 2016. Manakala untuk kes buli pula untuk tahun 2016 sebanyak 3,448 kes direkodkan dengan enam bulan pertama 2017 pula sebanyak 872 kes direkodkan. 

Laporan ini mendedahkan jumlah murid yang terlibat dengan masalah disiplin adalah pada kadar 2.03%.

Ketika mataku mengembang membaca semua angka yang keluar dari laporan-laporan ini, Syuhada pula mengingatkan aku mengenai data dari Statistik Kanak-kanak Malaysia 2017 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan & Statistik Malaysia pada November 2017. 

Pada halaman 120 tercatat ‘Bilangan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah mengikut jenis kesalahan & jantina, Malaysia, 2015 & 2016’. Jadual di halaman ini menceritakan dengan terperinci:

“Untuk tahun 2016 sahaja, sebanyak 4,886 jenayah oleh kanak-kanak direkodkan termasuk bersabit harta benda, dadah, judi, senjata & bahan api serta lari dari sekolah. Ianya meningkat sedikit berbanding data pada tahun 2015 iaitu sebanyak 4669 kes yang direkodkan.”

Manakala pada halaman berikutnya iaitu 121 pula dinyatakan daripada 4,886 jenayah yang direkodkan oleh kanak-kanak ini, sebanyak 4,328 kes adalah kesalahan kali pertama dengan 558 kes adalah kes kesalahan berulang. 

Bayangkan, 111,895 anak kita terlibat dengan kes disiplin serius di sekolah dan kita pula hari ini hanya menuding jari dan salah-menyalah antara satu sama lain? Ibu bapa menuding jari kepada guru, guru menyalahkan ibu bapa dan pejuang hak asasi pula menyalahkan rotan?

Mungkin, yang sebenarnya bukan salah rotan atau isu guru pukul murid. Pernahkah kita berhenti sejenak dan bertanya, mengapa guru memukul murid di sekolah? Atau perlukah kita mempersoalkan, bagaimanakah jenis anak yang dihantar oleh ibu dan bapa muda zaman sekarang ke sekolah hari ini?

Apakah yang dimahukan oleh ibu bapa dengan menghantar anak mereka ke sekolah? Pernahkah kita bertanya, bagaimana dengan hak asasi guru di sekolah? Adakah hak mereka untuk mengajar anak murid yang baik yang datang daripada keluarga yang baik dipenuhi?

Adakah ibu bapa muda ini benar-benar mahukan guru di sekolah mendidik anak mereka, atau hanya sekadar mengajar mata pelajaran tanpa mempedulikan mengenai akhlak dan pembinaan insaniah? Adakah ibu bapa mahu anak mereka cemerlang sebagai anak murid semata-mata, atau mahukan anak mereka menjadi manusia apabila keluar sekolah?

Lebih menarik untuk dipersoalkan, kenapa agaknya NUTP tidak ke depan dalam kes ini untuk bicara mengenai ekosistem yang lebih baik untuk guru mengajar dengan lebih kondusif? Mengapa tiada tekanan ke atas Kerajaan atau pihak Kementerian Pendidikan untuk membina lebih banyak sekolah, lebih banyak kelas, dan mengambil pembantu guru?

Mengapa perbincangan yang wujud dua minggu sebelum dan selepas Cikgu Azizan diheret ke mahkamah ini, hanya berkisar kepada hitam dan putih mengenai boleh pukul atau tidak boleh pukul sahaja? Mengapa Kerajaan tidak dipertanggungjawabkan kerana tidak menyediakan kaunselor terlatih yang bukan bekerja sebagai guru, atau perlu masuk ke kelas lantas terbeban dengan kerja sebagai staf sekolah lain?

Mengapa tiada tuntutan kepada pihak Kementerian untuk mengubah suai semua ekosistem dari falsafah pendidikan kapitalisme berteraskan pencapaian kepada falsafah pendidikan baharu berteraskan cinta? Mengapa masyarakat kita tidak mahu menuding jari masalah ini ke atas bahu ibu dan bapa semula, yang sebenarnya seperti diketahui semua dan diangkat semula oleh Ustaz Hasrizal dalam statusnya beberapa hari lepas iaitu ‘collapse of parenting’?

Atau, mengapa tiada aktivis hak asasi kanak-kanak yang ke depan dan berteriak-teriak mengenai hak kanak-kanak lain untuk datang ke sekolah untuk belajar dan tidak diganggu oleh 5% ke 10% anak-anak bermasalah ini?

Aku fikir, sejak dari dulu, guru-guru di sekolah sudah lama penat. Penat dengan keruntuhan keibu-bapaan dan institusi keluarga masyarakat kita yang melahirkan anak-anak bermasalah. Penat dengan semua tuduhan dan maki hamun di sebalik hak mereka sebagai manusia untuk memiliki perasaan dan berekspresi. 
Mereka juga penat dengan masalah ekonomi yang memberanakkan sekian banyak masalah disiplin di kalangan ibu bapa yang akhirnya menjadikan anak-anak di sekolah sebagai penjenayah.

Yang kita perlukan hari ini sebenarnya adalah pedagogi cinta. Yang kita semua perlukan hari ini sebenarnya adalah penyelesaian. Bukan maki hamun. Bukan tuding menuding. Bukan tunjuk pandai. Dan satu-satunya entiti yang boleh menyelesaikan isu ini adalah Kementerian Pelajaran Malaysia. Dan tidak ada seorang pun hari ini yang sanggup bangun dan meletakkan semua kesalahan ini kepada mereka, atau kepada Kerajaan misalnya.

Sebaliknya yang salah pastilah ya, sang guru yang memukul anak muridnya. Yang hidup dan matinya selama ini hanyalah untuk sang anak tersebut. – 21 Disember, 2017.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen