Jangan tipu, sesatkan rakyat, kata Pejuang kepada Azmin


Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana tidak mahu memungkiri janjinya menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, malah bekas perdana menteri itu juga tidak mahu menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, kata Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2020.

MOHAMED Azmin Ali patut berhenti menipu dan menyesatkan orang ramai, kata Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin selepas menteri kanan itu mendakwa Perikatan Nasional (PN) adalah idea Dr Mahathir Mohamad.

Ulya berkata, PN hanyalah rancangan nakal yang dibuat Azmin dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam wawancara bersama The Star, Azmin berkata rancangan untuk membentuk PN berasal dari Dr Mahathir sendiri kerana beliau ingin menjadi perdana menteri yang disokong oleh semua Ahli Parlimen dari semua parti.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana tidak mahu memungkiri janjinya menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, malah bekas perdana menteri itu juga tidak mahu menjadi sebahagian daripada Langkah Sheraton, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, katanya.

“Azmin harus berhenti memberi naratif rancangan beliau. Rakyat tidak akan maafkan kamu atas apa yang telah kamu lakukan. Punca ketidakstabilan politik ini adalah kerana kerakusan Azmin dan Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengungkap perincian mesyuarat dewan presiden Pakatan Harapan pada Februari, Ulya berkata Azmin yang mengatakan ada komplot untuk menggulingkan Dr Mahathir.

“Kamu kata jika ada sesuatu yang terjadi, kamu akan keluar dari mesyuarat itu untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kamu,” katanya, merujuk kepada Azmin.

“Namun, semasa mesyuarat Pakatan Harapan, apa yang anda katakan tidak berlaku.

“PH bersetuju untuk memberikan sokongan penuh kepada Tun Mahathir dan mengadakan perbincangan mengenai rancangan peralihan yang betul. Kamu tidak keluar semasa mesyuarat itu,” tambah Ulya.

Katanya, walaupun rancangan menjatuhkan Dr Mahathir tidak berjaya, Azmin dan sekutunya masih meneruskan rancangan mereka.

Tambahnya lagi, Muhyiddin berusaha mendorong agendanya dengan meyakinkan Dr Mahathir bahawa dia akan tetap menjadi perdana menteri untuk PN tetapi Dr Mahathir tetap menegaskan bahawa dia tidak akan memungkiri janjinya dan tidak akan memimpin pemerintahan kleptokrat.

Ulya berkata, Muhyiddin mendapat sokongan daripada mereka yang ingin meninggalkan PH termasuk bekas anggota Umno yang telah bergabung dengan Bersatu.

Mesyuarat berakhir dengan para anggota bersetuju untuk tidak meninggalkan gabungan PH dan memberi Dr Mahathir kuasa untuk menentukan isu peralihan kuasa ketika itu.

Ulya berkata, Dr Mahathir menyuruh Muhyiddin menghentikan sebarang rancangan pertemuan dengan istana, puak Azmin, Umno dan PAS yang sudah dirancang sebelumnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin dan Azmin meneruskan Langkah Sheraton yang menjadi punca kejatuhan Pakatan Harapan. – 29 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen