Jangan siasat 1MDB 25 tahun kemudian, seperti RCI forex, kata ahli Parlimen 


Noel Achariam

SALLEH Said Keruak tidak sepatutnya memberitahu Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan kesalahan kepada penasihat DAP Lim Kit Siang berikutan Putrajaya memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kerugian forex pada 1990-an, kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Liew berkata kerajaan perlu melihat untuk mengadakan RCI ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang digesa oleh Kit Siang sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan perlu menghormati gesaan Kit Siang untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal 1MDB sekarang dan bukannya 25 tahun kemudian.

“Beliau telah meminta penubuhan RCI ke atas 1MDB sejak tiga tahun lalu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Salleh yang juga menteri komunikasi dan multimedia sebelum ini berkata Dr Mahathir tidak boleh menyalahkan bekas pembantu gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Murad Khalid berhubung kerugian forex Bank Negara lebih RM31.5 bilion.

Katanya, bekas perdana menteri itu sepatutnya meluahkan kemarahannya kepada Kit Siang.

Salleh berkata, Murad telah memberi keterangan dalam pendengaran RCI dan Kit Siang yang menggesa RCI ditubuhkan sejak 20 tahun lalu.

Liew berkata semua orang tahu Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim bertanggungjawab, bagaimanapun tiada wang yang masuk ke akaun peribadi mereka.

“Dalam isu 1MDB wang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak sedangkan krisis forex tidak terlibat secara peribadi.”

Semalam, Dr Mahathir meletakkan kesalahan kerugian itu kepada Murad, dengan mendakwa beliau tahu mengenai kerugian itu tetapi memilih untuk berdiam diri sehinggalah baru-baru ini.

Kerugian perdagangan forex BNM adalah subjek RCI yang mencadangkan Dr Mahathir, Anwar dan bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop disiasat kerana  jenayah pecah amanah.

Dr Mahathir sebelum ini berkata penubuhan RCI itu hanyalah cubaan untuk memburukkan nama beliau menjelang pilihan raya umum tahun depan dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menyiasat skandal 1MDB. – 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen