Umno tidak perlu lagi desak jawatan TPM, kata Zahid


Ahmad Zahid mengulas pandangan naib presiden Umno Ismail Sabri Yaacob dalam Mingguan Malaysia bahawa isu jawatan timbalan perdana menteri akan dibangkitkan semula selepas selesai urusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2020.

UMNO perlu berhenti mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk kuota jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada parti itu, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan mereka adalah kuasa mutlak atas budi bicara perdana menteri.

“Oleh yang demikian, spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincangkan secara umum walaupun memang diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu adalah hak perdana menteri.

“Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan perdana menteri,” katanya seperti dipetik oleh Bernama di Bagan Datuk.

Ahmad Zahid mengulas pandangan naib presiden Umno Ismail Sabri Yaacob dalam Mingguan Malaysia bahawa isu jawatan timbalan perdana menteri akan dibangkitkan semula selepas selesai urusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat minggu lalu meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar dan akan meneliti cadangan kerajaan itu pada peringkat jawatankuasa bermula esok sehingga 15 Disember ini.

Menurut Ismail Sabri, Umno tidak pernah mendiamkan isu jawatan timbalan perdana menteri kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi yang terbanyak dalam kerajaan hari ini.

“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada Bersatu.

“Jadi adillah kalau Umno minta jawatan TPM dan wajar diberikan kepada Umno  sebagaimana cadangan Biro Politik dan dipersetujui Majlis Tertinggi,” katanya seperti dipetik Mingguan Malaysia.

Ismail Sabri juga dipetik berkata Umno setuju calon timbalan perdana menteri yang akan dimajukan adalah mengikut hierarki antara lima pemimpin tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Daripada lima pemegang jawatan itu, dua bukan ahli Parlimen iaitu timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Mohamed Khaled Nordin.

Seorang lagi naib presiden ialah Ahli Parlimen Padang Terap Mahadzir Khalid.

“Kita menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai (siapa yang sepatutnya layak). Bagi Umno, kita perlukan jawatan TPM tetapi orang yang berada di luar hierarki itu tidak wajar mengisi jawatan tersebut.

“Tidak boleh sesuka hati nak lantik sesiapa, kena hormat pendirian Umno. Jadi saya harap selepas Belanjawan, perkara ini dibincangkan semula,” katanya.

Sebelum ini ada desas-desus nama bekas naib presiden Hishammuddin Hussein dan pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah dicadangkan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Umno dilapor membangkitkan isu jawatan timbalan perdana menteri ketika mempersoalkan hubungan kerjasama politiknya dengan Bersatu.

Pada Oktober lalu, Biro Politik Umno meminta parti memberikan syarat baru kepada Muhyiddin sebagai jaminan untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Syarat baru itu didesak ketika Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ketika itu mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau ada cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baharu, dengan dukungan ahli-ahli Parlimen dari Umno.

Selepas dua kali bermesyuarat, Majlis Tertinggi Umno kemudian memutuskan kekal menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan.

Ahli-ahli Parlimen Umno minggu lalu memberi sokongan untuk meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat setelah sebelum itu memberi amaran sokongan mereka bersyarat. – 29 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen