Magis bisnes "live streaming" 


Zainal Rashid Ahmad

APA itu “live streaming” atau penstriman langsung? Mudah. Tapi dalam konteks perniagaan ia bukan penstriman biasa. Penstriman langsung ialah alatan baharu bagi membolehkan peniaga memilih opsyen jualan cara terkini.

Penstriman langsung memiliki potensi interaksi lebih “happening” berbanding konsep automasi bagi jualan dalam talian. Malah, “online” bakal dilihat sebagai teknologi konvensional tidak lama lagi.

Strim perniagaan ialah jualan “live” di media sosial yang riuh diperkatakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan 18 Mac lalu.

Perintah penutupan premis perniagaan dan “pengurungan” isi rumah sepanjang 10 minggu PKP menjadikan bisnes yang menggunakan konsep penstriman langsung mencipta kejutan budaya.

Bukan saja peniaga tetapi pembeli juga berpusu-pusu berada di Facebook dan Instragram; mengisi tempoh berkurung dengan membeli atau menonton sesi jualan langsung di media sosial.

Hampir 1.4 juta akaun Facebook (total 26.8 juta akaun di Malaysia) diwujudkan bagi tujuan bisnes. Malah, sejak 2015 ini aktif dengan aktiviti perniagaan. Cuma, konsepnya ialah paparan foto dan hantaran teks.

Apabila Mac lalu muncul trend “streaming live”, perniagaan di media sosial berubah mendadak.

Apa yang mendadak?

Bisnes dalam talian terutama di media sosial hari ini bukan lagi sekadar meletakkan foto dan kapsyen. Strim telah mengubahnya secara drastik.

Apa beza strim media sosial dengan program jualan di TV?

Banyak bezanya. Pertama program jualan di TV memerlukan modal besar untuk kos “airtime”. Malah, RM10,000 caj bayaran bagi 5 minit bersiaran dikira harga biasa. Selain itu, format bersiaran di TV hanya memberi ruang kepada peniaga hanya menjual jenama atau katalis produk.

Bersiaran cara ini tidak relevan bagi peniaga kecil. Konsep promosi di TV tidak dapat diukur impaknya melalui  hasil jualannya. Pelaburan kos bersiaran tiada jaminan perniagaan akan berbaloi. Sebaliknya penstriman langsung di media sosial lebih efisyen. Malah, 10 hingga 100 kali lebih baik berbanding berbelanja kos promosi di TV.

Apa tidaknya – secara per ringgit, perniagaan melalui penstriman langsung ialah zero kos.

Anda hanya perlukan telefon pintar dan kos data internet. Sekiranya bersiaran sekitar sejam menjual barang-barang, kos data hanya sekitar RM6. Sekiranya anda melanggan khidmat wifi pada harga RM88 sebulan, ia lebih menjimatkan. Sekalipun bersiaran selama empat jam, kosnya tetap purata tetap RM3 sehari. 

Penstriman bisnes masa depan

Wartawan Bisnes News Daily, Adam Uzialko menulis “penstriman ialah alatan bisnes terbaik bagi peniaga kecil.”

Itu ayat mudah. Bagi peniaga yang memang menggunakan penstriman, mereka menikmati lebih daripada ayat yang ditulis Uzialko.

Bagi peniaga yang memang terhimpit kos sewa premis sejak perniagaan mulai perlahan pada 2015 dan pendapatan “lumpuh” ketika PKP, penstriman satu penyelesaian tuntas.

Peniaga kecil kini mulai sedar wujudnya cara baharu bagi perniagaan dalam talian di media sosial. Tetapi ia bukan istilah meniaga dalam talian mengikut lama. Kalau berterusan memaparkan poster atau video dalam media sosial - itu sudah dianggap “tertinggal bas”.

Penstriman langsung ialah perniagaan yang memberikan impak lebih real. Tanpa kos sewa premis, tanpa kos membayar iklan dan tanpa kos menyediakan pekerja - peniaga kecil boleh memulakan bisnes strim secara “one man show”.

Tekan butang “live” media sosial dan mulalah meniaga. Letakkan produk di depan kamera dan promosi saja secara langsung.

Penonton barangkali hanya 30 orang tetapi sekiranya anda berjaya menjual 5 barang, ia sudah berbaloi.

Mulakan dengan sabar. Terdapat peniaga yang hanya memiliki 30 penonton pada enam bulan lalu. Hanya mengekalkan disiplin waktu bersiaran dan tawarkan harga menarik, angka 1,000 “mata memandang” setiap kini dianggap angka biasa-biasa saja.

Kalau enam bulan dulu hasil jualan secara strim hanya RM500 bagi dua jam jualan, kemajuan muncul selepas enam bulan.

Ramai peniagaan penstriman langsung mampu menjana jualan antara RM5 ke RM35,000 hanya dalam dua jam bersiaran.

Ingat. Ini angka bukan jual kereta. Tetapi menjual barangan berharga antara RM80 hingga RM800.

Ada peniaga penstriman yang secara konsisten memperolehi jualan RM80,000 ke RM120,000 sebulan.

Menariknya, angka jualan ini dicapai hanya setelah enam bulan lalu beralih ke jualan penstriman.

“Kami mulakan ala kadar, tetapi sekarang bersiaran 6 jam sehari dengan sasaran jualan RM6,000 sehari,” kata  Shahrizal peniaga butik pakaian terpakai berjenama.

Sharizal beralih ke jualan strim setelah terbeban dengan kos sewa premis dan kekangan keperlahanan bisnes sejak 2015.

“Era premis fizikal sudah berakhir kerana sewa di KL tinggi dan bisnes “walk in” mengalami penurunan kunjungan,” katanya.

Shahrizal menjalankan perniagaan premis sejak 2014. Perniagaan merosot dan sukar bertahan kerana sewa premis kekal tinggi pada kadar RM2,500 sebulan.

“PKP mengubah segalanya. Kami nekad bermigrasi ke jualan siaran langsung di Facebook dan menutup premis fizikal,” kata Shahrizal.

Apa cabaran migrasi penstriman langsung?

Bagi peniaga, migrasi bererti “tutup kedai dan buka studio.”

Studio boleh saja di rumah. Malah, di tepi tangga. Konsepnya hanya buka akaun Facebook dan beranikan diri tampil berniaga secara penstriman langsung.

Penstriman mulai rancak walaupun tidak sampai 5% akaun perniagaan dalam talian berani beralih ke jualan siaran langsung.

Pada tahap awal sekarang, ada peniaga  berjaya menjual 20 set jam berharga antara RM200 hingga RM2,000.

Menakjubkan melihat penstriman di kalangan peniaga Facebook dengan keupayaan mencapai jualan mencapai RM10,000 sejam.

Andy Bundle antara Facebook tersohor. Anak kelahiran Hutan Kampung, Kedah ini dianggap “Raja Kasut Terpakai” dalam era penstriman. Andy mampu menjual 40 hingga 80 pasang kasut dalam empat jam strim di Facebook. Lebih mengejutkan, tiap kali muncul di strim, angka penonton mencapai antara 1,000 hingga 2,000 pengikut.

Pembeli memenuhi Facebook Andy Bundle setiap petang. Bukan saja perniagaan Andy laris, ratusan peminat kasut berjenama “menangis” setiap hari kerana gagal membida.

Jualan cara penstriman menyebabkan puluhan pembeli berebut “lock” atau persetujuan membeli.

Andy hanya memerlukan 30 saat untuk menjual setiap pasang kasut selepas memaparkannya secara pantas. Andy hanya perlu menyebut jenama, saiz dan model. Belum pun habis keterangan – bidaan “lock” akan tampil bertalu-talu di skrin strim.

Pembida terpantas dikira pembeli berjaya. Pembeli yang berjaya bergantung kepada nama siapa yang muncul paling awal di skrin Facebook Andy Bundle.

“Andy berbakat dan pandai berinteraksi dengan pembeli. Sambil berjenaka dia  pantas mempromosi tiap pasang kasut,” kata Iqbal Sani.

Sebagai peniaga muda, Iqbal belajar banyak perkara melalui cara Andy berkomunikasi.

“Benda pertama kena ada dalam jualan langsung di media sosial ialah bakat dan kebolehan mempromosi produk,” kata Iqbal.

Sebagai peniaga pakaian secara strim di Instagram, Iqbal belajar dan belajar setiap hari melalui teknik menonton penstriman langsung Andy.

“Kita belajar bagaimana Andy memastikan selepas 30 saat memperkenalkan kasut, belum selesai pun dah ada pembelinya,” kata Iqbal.

Mudahnya, Iqbal belajar dengan tekun untuk menjadi “joki” yang setaraf dengan Andy.

Joki ialah istilah kasual bagi mereka yang memacu jualan strim di media sosial. Joki memerlukan seorang yang mahir bercakap; kenal produk serta boleh menjelaskan detils barangan jualan.

Sebaik saja penerangan diberikan dan harga disebut, “joki” yang hebat boleh memastikan jualannya segera dibida.

“Ada masa, lebih 15 orang membida sepasang kasut. Itu kehebatan Andy,” kata Iqbal.

Jual buku lebih relevan di platform strim?

Rashidi Abdullah menulis buku “Monolog Budak Buta” dan diterbitkan sendiri pada 2018. Selama 18 bulan, Rashidi menjual bukunya di Instagram dan Facebook dengan paparan foto dan kapsyen.

“Saya juga menjual secara fizikal kepada peserta program perkongsian pengalaman kalau dijemput sebagai tamu,” katanya.

Selama menjual secara hantaran foto fan kapsyen di media sosial, Rashidi berjaya menjual antara dua ke tiga buah buku sebulan.

“Ada masanya, nak jual satu buku pun ada masa susah,” katanya.

Sharizal menjemput Rashidi sebagai tamu di platform strim langsung Facebook Garasi TV. Anehnya, Rashidi berjaya menjual 153 buah buku dalam masa 45 minit.

Apa bezanya?

Secara penstriman langsung dan dengan 1,400 penonton Garasi TV, proses bual bicara dan penceritaan kisah hidup Rashidi berjaya meningkatkan demand belian.

“Penonton mula membida apabila kami maklumkan hanya ada 60 buah buku. Apabila Rashidi bercerita mengenai kandungan bukunya, penonton pantas membida,” kata Shahrizal.

Walaupun buta 80%, bidaan buku Rashidi rancak kerana pembeli ingin membaca keseluruhan kisah hidupnya yang buta pada usia 17 tahun akibat glukoma.

Sebagai pemilik Garasi TV dan sudah berpengalaman membantu lebih 30 usahawan berniaga di platform strim langsung, Shahrizal tahu “bagaimana menjual produk”.

“Produk takkan laku kalau sekadar foto dan kapsyen. Pembeli mahukan perkongsian lebih detils dan personal sebelum membeli,” kata Shahrizal.

Bidaan berterusan menyebabkan Garasi TV bertanya pada Shahrizal mengenai stok bukunya.

“Ada di rumah. Saya bawa 60 untuk hiasan meja siaran dan saya tak sangka akan habis terjual,” katanya.

Mendengar stok masih ada, penonton terus membida dan 153 buku terjual. Sesi bidaan hanya dibuka selama 45 minit.

“Kami hadkan waktu bidaan kerana selepas sesi Rashidi kami ada sesi meniaga barangan Garasi TV,” kata Shahrizal.

Jualan “sold out” bukan sahaja dinikmati Rashidi. Seminggu sebelum itu, 300 helai jeans dan baju jenama tempatan, Raw Denim House juga “sold out” dalam tempoh sejam 15 minit. Garasi TV juga berjaya membantu jenama iBawal menjual 110 set tudung juga dalam tempoh 45 minit.

“Setakat ini, Madu keluaran Man Raja Lebah masih memegang rekod jualan dengan 200 botol dan nilai total RM14 ribu, habis dibida dalam sejam,” kata Shahrizal.

Begitulah bisnes strim langsung memulakan langkah baharu di platform digital. Seterusnya mula meninggalkan konsep jualan dalam talian secara paparan foto dan kapsyen. – 29 November, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen