DAP Johor cabar menteri nafi bina kem tentera di Sembrong


Noel Achariam

PENGERUSI DAP Johor Liew Chin Tong mencabar Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein untuk menafikan dakwaan bahawa satu kem tentera akan dibina di kawasan Parlimen Sembrong, yang diwakili menteri itu.

Liew mendakwa pembinaan kem itu bagi menambah bilangan pengundi tentera dan menyelamatkan Hishammuddin yang hampir tewas di kawasan tersebut dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata terdapat kira-kira 20,000 pengundi di Sembrong dan kem itu dijangka akan menambah 10% lagi pengundi di kawasan berkenaan.

“Pada PRU lalu, di kawasan ini, DAP kalah dengan hanya 100 undi, jadi Hishammuddin sedang membina kem tentera di sini.

Saya cabar dia untuk menafikan yang tiada kem sedang dibina. Dia menipu,” kata Liew pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Ahli Parlimen Kluang itu mendakwa kem itu sedang dalam pembinaan di Paloh, iaitu di dalam kawasan Sembrong.

Pada sidang media sama, setiausaha biro undang-undang DAP Michelle Ng berkata parti itu akan terus membantu 48 pemohon dari Johor yang memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung pengundi tentera yang diimport ke Segamat.

Katanya, semua bantahan yang difailkan pada 14 Disember oleh pemohon sudah ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami akan memberikan sokongan dalam semakan kehakiman mereka dan rayuan kepada SPR.

DAP mempersoalkan mengapa 1,079 pegawai tentera dan pasangan mereka sudah pun berdaftar sebagai pengundi di Segamat walaupun kem itu hanya akan siap pada April 2018.

Hishammuddin sebelum ini berkata sejumlah 1,079 pegawai berkenaan akan ditempatkan di sebuah kem yang akan siap menjelang akhir tahun ini di Segamat.

Katanya, Liew tidak sepatutnya mempolitikkan perkara itu dan mendakwa undi daripada tentera akan membantu Barisan Nasional pada PRU akan datang.

“Jika benar kem itu akan bantu BN, sebagai menteri pertahanan lebih baik saya bina kem di kawasan saya di Sembrong,” katanya. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Menteri lidah kontot terberak nk jawab

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan