Muhyiddin jangka 30% rakyat dapat vaksin Covid-19 tahun depan


Muhyiddin Yassin berkata Selain perjanjian dengan Pfizer, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

SERAMAI 9.6 juta atau 30 peratus rakyat Malaysia dijangka memperoleh vaksin Covid-19 tahun hadapan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah menandatangani dua perjanjian bagi tujuan itu.

Semalam, beliau mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia. 

“Selain perjanjian dengan Pfizer, kerajaan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, kita akan menerima bekalan vaksin secara berperingkat mulai suku pertama tahun depan,” kata beliau yang juga merupakan Presiden Bersatu dalam ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang dibuat secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan akses kepada vaksin itu serta usaha berterusan untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik berkenaan, Malaysia akan berjaya mengawal sepenuhnya kes jangkitan sekali gus membantu memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.   – Bernama, 28 November, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen