PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching ditamatkan hari ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
PKPB di daerah itu ditamatkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes aktif Covid-19 menunjukkan trend penurunan dan terkawal.
“Atas nasihat KKM, sidang khas bersetuju menamatkan PKPB di daerah Kuching seperti dijadualkan,” kata Ismail Sabri pada sidang media hari ini.
PPKPB di Kuching berkuatkuasa mulai 9 hingga 22 November, tetapi kemudian dilanjutkan hingga hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak James Jemut Masing minggu lalu berkata keputusan melanjutkan PKPB dibuat susulan 58 kes Covid-19 dikesan di Kuching.
Empat kes baharu Covid-19 dilaporkan di Kuching semalam, kesemuanya adalah kes import.
Sarawak sehingga kini merekod 1,062 kes.
Malaysia pula melaporkan 935 kes baharu setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 60,752 sejak negara dilanda pandemik Covid-19. – 27 November, 2020.
Komen