Nasihat Agong, bantuan rakyat punca tak bangun belah bahagi, kata Kit Siang


Lim Kit Siang berkata pembangkang tidak menyokong undi belah bahagi diadakan kerana mengikut nasihat Agong dan butiran bantuan rakyat diumumkan menteri semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

PEMBANGKANG tidak menyokong undi belah bahagi semalam kerana nasihat Yang Di Pertuan Agong dan butiran bantuan rakyat terbaru diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, kata Lim Kit Siang.

“Saya langsung tak tahu tentang keputusan saat akhir dibuat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk tidak mendesak undi belah bahagi walaupun saya boleh simpulkan sebabnya (berbuat demikian), pertamanya, nasihat Yang Di Pertuan Agong supaya ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 dan keduanya, ucapan penggulungan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di mana beliau mengumumkan bantuan tambahan untuk belanjawan,” kata veteran DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, “kejutan” dibuat Tengku Zafrul masih perlu diuji pada Peringkat Jawatankuasa sebelum bacaan ketiga Belanjawan 2021 pada 15 Disember.

Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, nyata sekali tidak cukup sokongan untuk menolak Belanjawan 2021 kerana ahli Parlimen Umno kembali memberi sokongan kepadanya.

“Tetapi, ini tidak pernah menjadi faktor untuk DAP dan ahli Parlimen PH (Pakatan Harapan) dalam membuat keputusan sama ada untuk menadakan undi belah bahagi di Parlimen.

“Memandangkan Yang Di Pertuan Agong telah menggesa ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 kerana pandemik Covid-19, mustahak untuk ahli Parlimen pembangkang memberikan menteri kewangan lebih banyak masa sehingga bacaan ketiga rang undang-undang perbekalan (Belanjawan) pada 15 Disember untuk membuat pindaan dan pengubahsuaian yang perlu,” kata Lim lagi.

Dalam isu lain pula, Lim berkata ahli Parlimen memerlukan lebih banyak masa untuk perbahasan sebelum Belanjawan 2021 mendapatkan kelulusan peringkat akhir pada peringkat jawatankusa.

Selama 19 hari persidangan bagi mencegah penularan wabak Covid-19, wakil rakyat di Parlimen hanya bersidang empat daripada jam 10 pagi hingga 2 petang berbanding enam jam sebelum ini.

Kata Lim, pengurangan masa persidangan itu benar-benar mengekang peranan ahli Parlimen untuk bertanya dan meminta jawapan daripada kerajaan.

Disebabkan itu, Lim menggesa persidangan dijalankan enam jam seperti sebelum ini dan waktu rehat tengahari daripada jam 1 petang hingga 3 petang boleh digunakan untuk menjalankan proses nyah kuman kawasan bagi mengekang penularan Covid-19. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen