Cabaran sukar untuk MCA, MIC dalam PRU15, kata Annuar Musa


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa mengakui pengundi bandar sudah beralih menyokong parti pembangkang sejak beberapa pilihan raya lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

PARTI komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC, akan berhadapan cabaran besar untuk menyaingi parti pembangkang PKR dan DAP dalam pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung BN, Annuar Musa.

Beliau mengakui pengundi bandar sudah beralih menyokong parti pembangkang sejak beberapa pilihan raya lalu, manakala MCA dan MIC sukar merampas semula kerusi-kerusi itu.

“Bukan mudah. Kita perlu terima hakikat bahawa DAP sebuah parti politik yang kukuh. Mereka nampaknya sangat berpengaruh, terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina.

“Di kawasan bandar, DAP sangat dominan, masih sangat kuat.

“MCA dan MIC akan hadapi laluan sukar untuk menang atau merampas kerusi di kawasan bandar,” kata Annuar, yang juga menteri Wilayah Persekutuan, kepada The Malaysian Insight.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, MCA menang hanya satu kerusi (Ayer Hitam), sementara MIC menang dua (Tapah dan Cameron Highlands).

Bagaimanapun, selepas pilihan raya kecil, kerusi Cameron Highlands dimenangi calon BN bukan daripada MIC, sementara MCA menambah satu kerusi di Tanjung Piai.

Data pengundian pada 2018 menunjukkan kemerosotan sokongan kepada parti-parti itu, yang dicatat sejak pilihan raya umum pada 2008 ketika BN hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat buat pertama kali sejak 1969.

Namun Annuar berkata sebagai anggota gabungan yang mentadbir Malaysia selama enam dekad sejak Merdeka pada 1957 hingga 2018, semua parti mesti mendepani cabaran itu bersama dan tidak boleh mengabaikan satu sama lain.

“Saya mesti mengaku bahawa MCA dan MIC mungkin tidak sekuat seperti sebelumnya tetapi tanggungjawab kami semua untuk membantu mereka dan kekal setia menyokong mereka.

“Kita satu pasukan… BN mesti dilihat sebagai satu, yang didukung oleh empat parti politik. Jadi kita tidak boleh biarkan MCA dan MIC mengharungi masalah mereka sendiri,” katanya.

BN tidak akan membiarkan MCA dan MIC menghadapi masalah merek mengharungi masalah mereka sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

Rundingan pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 dilaporkan sudah bermula ketika mandat Parlimen ini berakhir pada 2023, walaupun spekulasi kuat membayangkan ia akan diadakan lebih awal.

Annuar bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk menentukan pengagihan kerusi.

“Kita tidak patut bercakap mengenai pengagihan kerusi sekarang kerana dari segi teknikalnya kita masih di tahun ketika mandat sekarang.

“Malangnya, disebabkan oleh ketidakstabilan politik, orang tidak dapat mengelak daripada bercakap tentang pilihan raya akan datang dan pengagihan kerusi.

“Setakat yang BN tahu, kita sudah berbincang dengan rakan-rakan kita. Kita bercakap tentang siapa patut bertanding di mana, dalam suasana persaudaraan dan setakat ini tiada sebarang masalah,” katanya.

Menurut Annuar, rundingan kerusi akan mudah sekiranya hanya empat parti komponen BN yang terlibat, namun ia kini perlu juga berunding dengan PAS, yang merupakan rakan kerjasama Umno dalam Muafakat Nasional.

Annuar mengaku rundingan kerusi lebih rumit kerana Bersatu adalah sekutunya dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau juga mengulangi pandangan bahawa memastikan Umno menang kerusi yang ditandinginya lebih mustahak berbanding jumlah kerusi yang ditandingi. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen