Pembangkang mungkir janji pada rakyat, kata Dr Mahathir


Pembangkang mungkir janji kepada rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

WAKIL rakyat pembangkang yang enggan menolak Belanjawan 2021 melalui undian hari ini mungkir janji pada rakyat kerana menyokong kerajaan rasuah, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian kerana kesal apabila usaha menolak belanjawan itu gagal apabila tidak mendapat cukup sokongan ketika usul dikemukakan untuk undian belah bahagi.

“Kerajaan yang didiri melalui rasuah dan sogokan pada ahli Parlimen, dan kerajaan yang  korup  boleh pula disokong oleh ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikitpun berasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.

“Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir merupakan antara 13 orang wakil rakyat yang bangun menyokong usul dikemukakan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar supaya undian dibuat secara belah bahagi.

Ia tidak mendapat sokongan kerana Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengarahkan ahli Dewan Rakyat dari blok tersebut tidak menolak belanjawan tersebut pada peringkat ini.

Menurut Anwar, orang ramai berpendapat petugas barisan hadapan yang menangani pandemik Covid-19 tidak akan mendapat gaji jika belanjawan ditolak pada peringkat ini.

Bagaimanapun, belanjawan itu hanya diluluskan di peringkat dasar dan akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa sebelum undian, katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun menganggap sokongan pada masa ini menunjukkan pembangkang sudahpun menyokong tindakan yang membolehkan kerajaan Perikatan Nasional dibentuk.

“Kerajaan yang dipilih rakyat boleh dijatuhkan di tengah jalan dan diganti dengan kerajaan pintu  belakang. Pilihan raya tidak bermakna lagi,” kata Dr Mahathir lagi.

Oleh itu beliau dan tiga lagi ahli Parlimen Bebas dari Pejuang tetap menolak belanjawan tersebut, katanya lagi.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang mendedahkan arahan untuk tidak menyertai undi belah bahagi ke atas Belanjawan 2021 itu dibuat pada saat akhir hari ini.

Selain itu, sembilan ahli Parlimen dari Amanah turut bangun menyokong diadakan undi belah bahagi.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalannya Salahuddin Ayub bagaimanapun tidak bangun menyokong.

Ahli Parlimen DAP juga tidak bangun menyokong. Dua lagi bekas anggota Kabinet Dr Mahathir, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Abdul Rahman juga kekal duduk. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen