Agensi Kelayakan Malaysia batal lantik tertuduh kes rasuah sebagai ahli majlis


The Malaysian Insight

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) menarik balik pelantikan seorang ahli majlisnya selepas beliau kemudian didapati sedang dibicara di mahkamah atas tuduhan pecah amanah hampir RM3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Dr Husaini Omar menjelaskan pembatalan lantikan Mohamed Zaini Amran juga sudah dimaklumkan sendiri kepadanya.

“Penarikan balik lantikan dia telah dibuat pada minggu lepas lagi. Pembatalan dibuat selepas kita semak lagi detail, masih ada lagi kes rasuah.

“Jadi MQA tarik balik (pelantikan). Dia sudah diberitahu dan dia akur dengan penarikan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

MQA ialah sebuah badan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang ditubuh bagi menentukan penanda aras kualiti pendidikan tinggi awam dan swasta.

Ia dikuatkuasakan melalui Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007, yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik wakil dari institusi pendidikan awam dan swasta sebagai anggota majlis.

Menteri pengajian tinggi juga berkuasa melantik lapan ahli majlis yang dirasakannya berpengetahuan khas, berpengalaman dan profesional dalam hal ehwal pendidikan tinggi atau pekerjaan.

Mohamed Zaini dan seorang lagi sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen di Johor atas tuduhan pecah amanah RM2.82 juta wang syarikat penyelenggaraan projek jalan kampung, selepas didakwa pada Januari lalu.

The Malaysian Insight difahamkan pencalonan Mohamed Zaini lulus semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tetapi tidak disemak dengan pihak Jabatan Peguam Negara.

Husaini menjelaskan pelantikan itu juga sebenarnya belum dibawa untuk pengesahan di peringkat majlis, yang dijadual bermesyuarat pada 3 Disember.

Ditanya kenapa pelantikan itu dihebahkan di laman web MQA sekiranya ia belum disahkan, beliau berkata ia “kesilapan teknikal”.

“Itulah kesilapan juga… sepatutnya nama tak boleh letak lagi sebelum (majlis) mesyuarat tapi namanya sudah diletak (di laman web)... ya, kesilapan teknikal,” katanya.

Semakan ke atas laman web MQA mendapati nama Mohamed Zaini sudah dipadam.

Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Selia, yang juga pengerusi City University Malaysia, sebelum itu disenarai sebagai ahli majlis MQA di laman web tersebut pada 18 November lalu.

Pelantikannya juga dihebahkan oleh City University Malaysia melalui satu ucapan tahniah kepada Mohamed Zaini di Facebook pada 17 November, yang juga sudah dipadamkan.

Seorang sumber sebelum itu menghubungi The Malaysian Insight memaklumkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pelantikan tersebut.

“Pelantikan individu yang ada masalah integriti akan menjejaskan keyakinan awam terhadap jaminan kualiti MQA dan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

MQA dibentuk daripada gabungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti di kementerian pada November 2007.

Majlis MQA kini dipengerusikan oleh Presiden Akademi Sains Malaysia Dr Asma Ismail. Ia turut dianggotai tiga ketua setiausaha kementerian (pengajian tinggi, pendidikan, dan sumber manusia) serta ketua pengarah pendidikan tinggi dan perkhidmatan awam. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen