Bekas PM Sudan meninggal dunia akibat Covid-19


Bekas perdana menteri Sudan Sadiq al-Mahdi, 84, dirawat di Emiriah Arab Bersatu tiga minggu lalu selepas didapati positif Covid-19. – Gambar AFP, 26 November, 2020.

BEKAS perdana menteri Sudan Sadiq al-Mahdi meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 hari ini.

Berita kematian Sadiq, 84, diumumkan partinya.

“Kami ucapkan takziah kepada rakyat Sudan atas pemergian beliau,” menurut kenyataan Parti Umma Nasional Islam.

Sadiq perdana menteri terakhir yang dipilih secara demokrasi di Sudan sebelum digulingkan pada 1984 oleh bekas presiden Omar al-Bashir.

Pemimpin Parti Umma Nasional Islam itu dirawat di Emiriah Arab Bersatu tiga minggu lalu selepas didapati positif Covid-19.

Sadiq pemimpin pembangkang utama semasa pemerintahan Bashir dan menyokong tunjuk perasaan besar-besaran di Sudan sehingga Bashir digulingkan tentera.

Bashir dipenjarakan di Penjara Kober dengan kawalan keselamatan tinggi dan didapati bersalah pada Disember lalu atas kesalahan  rasuah.

Bashir kini dibicarakan atas peranannya dalam rampasan kuasa pada 1989. Beliau turut didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)  atas tuduhan melakukan jenayah perang dalam perang Darfur 2003.

Bashir, termasuk pegawai atasan yang dituduh bersamanya berdepan hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Sehingga kini Sudan merekodkan hampir 17,000 kes Covid-19 dan 1,200 kematian. – AFP, 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen