Jerman lanjut sekatan Covid-19 hingga Januari


Canselor Jerman Angela Merkel berkata sekatan akan diteruskan susulan kes jangkitan di negara itu masih tinggi.– Gambar EPA, 26 November, 2020.

PERINTAH sekatan bagi membendung pandemik Covid-19 di Jerman akan dilanjutkan sehingga awal Januari, kata Angela Merkel semalam.

Canselor Jerman itu berkata sekatan akan diteruskan susulan kes jangkitan di negara itu masih tinggi.

Sekatan yang berkuatkuasa awal November menghadkan perhimpunan tertutup dan menutup restoran, pusat riadah dan kebudayaan.

“Sekatan ini pada mulanya sehingga 20 Disember tetapi dilanjutkan sehingga awal Januari kerana kes jangkitan yang masih tinggi,” kata Merkel.

Ini bermakna restoran, bar, pusat riadah dan kebudayaan di Jerman akan terus dilarang buka, kecuali sekolah dan kedai.

Mulai 1 Disember, perhimpunan tertutup akan dihadkan hanya kepada lima orang dari dua isi rumah berbanding 10 sebelum ini. Kanak-kanak bagaimanapun dikecualikan.

Bagi cuti perayaan sempena Krismas mulai 23 Disember hingga Tahun Baru, peraturan membenarkan kumpulan membabitkan 10 individu dewasa dan kanak-kanak bawah 14 tahun.

“Majikan digesa memberi pekerja cuti atau bekerja dari rumah mulai 23 Disember hingga 1 Januari supaya semua perniagaan diluruh negara boleh ditutup dan semua orang berada di rumah pada masa yang sama,” tambahnya. – AFP, 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen