Top Glove kini kluster Covid-19 terbesar Malaysia


Ragananthini Vethasalam

To Glove Corporation Bhd semalam berkata kira-kira 7,000 pekerja terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 November, 2020.

HANYA beberapa bulan lalu pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia Top Glove Corporation Bhd mencatat untung bersih RM1.87 bilion, kini ia muncul sebagai kluster Covid-19 paling besar di Malaysia.

Kilang dan asrama pekerja Top Glove menjadi punca kluster Teratai, yang mempunyai kes positif Covid-19 melebihi kluster tabligh Sri Petaling.

Sehingga semalam, kluster Teratai merekod lebih 4,000 kes berbanding 3,375 yang dicatat kluster tabligh.

Top Glove semalam berkata bukan semua kes kluster Teratai adalah pekerjanya.

Kluster Teratai dikesan selepas kes indeks kluster ini dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 2 November 2020. 

Pengerusi Eksekutif Top Glove Lim Wee Chai semalam berkata kira-kira 7,000 pekerja terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurutnya, kira-kira 3,000 daripada jumlah itu disahkan positif. Asrama pekerja syarikat itu kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga akhir November.

Susulan kes jangkitan yang tinggi itu, Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan siasatan ke atas kilang dan asrama pekerja Top Glove.

Ini kali kedua syarikat tersebut disiasat, selepas Amerika Syarikat mengenakan larangan eksport ke atas produk pengeluaran mereka kerana disyaki menggunakan khidmat buruh paksa.

Kementerian Sumber Manusia selepas menjalankan siasatan di kilang Top Glove mendapati tiada unsur amalan buruh paksa yang didakwa oleh AS.

Lebih separuh daripada 21,000 pekerja Top Glove adalah warga asing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

Tutup sementara operasi

Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 November lalu mengarahkan 28 kilang Top Glove ditutup secara berperingkat untuk membolehkan ujian saringan ke atas pekerja dijalankan.

Top Glove dalam satu kenyataan pada 24 November berkata operasi 16 daripada 28 kilangnya di Meru, Klang telah ditutup sementara sejak 18 November.

Operasi akan disambung semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi, kata syarikat itu.

Ia juga menjangkakan kelewatan dalam beberapa penghantaran sekitar dua hingga empat minggu dan juga jangka masa yang lebih lama untuk pesanan, sekaligus akan memberi kesan tiga peratus terhadap jualan tahunan bagi tahun kewangan 2021.

Lebih separuh daripada 21,000 pekerja Top Glove adalah warga asing.

Ditubuhkan pada 1991, syarikat itu menguasai 26% pasaran sarung tangan getah dunia.

Ia mencatat keuntungan bersih kepada RM1.87 bilion bagi tahun berakhir 31 Ogos 2020, melonjak 41% berbanding tahun sebelumnya.

Hasil syarikat itu meningkat 50.72% itu RM7.24 bilion dari RM4.8 bilion.

Bloomberg pada Jun melaporkan kekayaan bersih pengasas Top Glove Lim Wee Chai  bernilai AS$2.5 billion (RM10.2 billion). Top Glove semalam menjangkakan bayaran dividen 6% bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021 susulan permintaan tinggi terhadap sarung tangan getah semasa pandemik Covid-19. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen