Saya tolak kerjasama semula dengan Muhyiddin kerana ada penjenayah Umno, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad mendedahkan ada pihak bertemu dengannya untuk merundingkan kerjasama semula dengan Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan ada pihak tertentu bertemu dengannya untuk merundingkan kerjasama semula dengan Muhyiddin Yassin, tetapi ditolak kerana ada perkara tidak disenanginya.

Dalam wawancara bersama Astro Awani malam ini, beliau berkata antara perkara tidak disenanginya termasuklah kerjasama dengan pemimpin Umno yang disifatkannya sebagai “penjenayah”.

“(Cubaan untuk memujuk) Dah dibuat dah, tetapi saya kata biar kena syaratlah. Saya masuk saja tak jadi apa. Mereka nak tonjolkan saya sebagai menyertai mereka, itu bukan caranya. Saya dapati banyak yang tak kena.

“Saya dapati gabungan itu terdapat Umno, dengan semua enam orang penjenayah semua tu. Jadi saya tak mahulah dapat sokongan daripada enam orang ini kita harus ingat kalau menang pun, enam orang ni, kalau dia pergi ke tempat lain jatuh juga kerajaan,” katanya.

Antara pemimpin kanan Umno yang sedang berdepan kes mahkamah termasuklah Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak.

Najib sudah disabitkan bersalah dalam tujuh pertuduhan kes SRC International melibatkan dana RM42 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM120 juta.

Pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menyelar Najib yang membahaskan Belanjawan 2021 dalam Dewan Rakyat, tindakan yang disifatkannya sebagai “banduan mencemarkan Parlimen”.

Ahli Parlimen Langkawi itu sekali lagi menegaskan yang Perikatan Nasional terlalu lemah untuk mentadbir negara kerana majoriti tipis Dewan Rakyat yang dipegangnya.

“Kerajaan ini terlalu lemah. Ia mempunyai kelebihan cuma satu orang, dua orang sahaja. Jadi apabila kita lemah, kita tak boleh nak jalankan tugas dengan sempurna dengan jaya.

“Dulu masa saya jadi perdana menteri dulu saya punyai dua pertiga di belakang saya. Ini cuma dua orang saja. Satu orang senak perut, jatuh. Dua orang sakit perut, habis.” – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen