Jangkitan dari kluster Teratai tidak merebak dalam komuniti, kata KP Kesihatan 


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini virus berkenaan hanya menjangkiti pekerja kilang dan kontak rapat mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa jangkitan dari kluster Teratai di Klang, Selangor yang setakat ini merekodkan kes Covid-19 tertinggi, tidak merebak dalam komuniti. 

Dr Noor Hisham berkata virus hanya menjangkiti pekerja kilang dan kontak rapat mereka. Tiada jangkitan dalam komuniti dilaporkan setakat ini. 

“Setakat ini tiada jangkitan dalam kalangan komuniti dan jangkitan hanya dalam kalangan pekerja kilang dan kontak rapat mereka. 

“164 pekerja yag dijangkiti adalah warga Malaysia yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur. Ketika mereka ulang ke rumah dari kerja, mereka menjangkiti ahli keluarga.”

Dr Noor Hisham berkata setakat Rabu, 6,506 individu dari kluster Teratai menjalani ujian saringan dengan 4,063 daripada mereka disahkan positif. 

Kluster itu dikesan selepas sekumpulan pekerja menjalani ujian saringan pada 2 November yang perlu dijalankan sebelum berlepas. Penemuan 10 kes positif daripada ujian saringan itu membawa kepada pengesanan kontak rapat.

Pengerusi Eksekutif Top Glove Lim Wee Chai dalam satu kenyataan hari ini berkata tidak semua daripada 4,036 kes Covid-19 dari kluster Teratai adalah daripada Top Glove Corporation Berhad

Beliau berkata setakat hari ini, kira-kira 7,000 pekerja terdiri daripada warga tempatan dan warga asing menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurut anggarannya, kira-kira 3,000 daripada 7,000 pekerja yang menjalani ujian disahkan positif.

“Terdapat kilang lain juga (yang terlibat dengan kluster Teratai) bukan Top Glove sahaja…Top Glove mungkin kira-kira 3,000 (adalah positif),” katanya pada sidang media hari ini. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen