2,348 kes pulih Covid-19, 970 kes baharu  


Alfian Z.M. Tahir

Jumlah kumulatif kes Covid-19 kini 59,817 kes yang mana 12,971 masih aktif.– Gambar The Malayian Insight oleh Irwan Majid, 25 November, 2020.

2,348 pesakit Covid-19 pulih daripada Covid-19 pada Rabu, melebihi jumlah kes jangkitan baharu dan merekodkan jumlah tertinggi kes pulih dalam sehari sejak permulaan pandemik.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 46,501.

Kes baharu menurun kepada 970 kes berbanding 2,188 semalam.

“Daripada 970 kes baharu, lima adalah kes import dan 965 adalah penularan tempatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 kini 59,817 kes yang mana 12,971 masih aktif. 

Empat kematian turut dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 345.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata Negeri Sembilan merekodkan kes positif Covid-19 tertinggi pada Rabu dengan 318 jangkitan, diikuti dengan Sabah 293 dan Selangor 115 kes.

“Peningkatan kes di Negeri Sembilan adalah kerana kes positif dalam kluster Bakti (kluster penjara) dengan 301 kes. Kes lain di Negeri Sembilan adalah daripada kluster sedia ada,” katanya.

“Di Sabah, 92 kes adalah dari kluster sedia ada termasuk 56 kes baharu dari kluster baharu iaitu kluster D’Bajaru. Sementara itu 129 kes adalah dari pengesanan kontak rapat dan 72 kes dari ujian saringan Covid-19.

“Selangor merekodkan 115 kes. 63 kes dari kluster sedia ada, 23 dari kluster baharu, kluster Gangsa.

“23 kes lain dari pengesanan kontak, 4 dari Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), tiga kes import dan 22 daripada ujian saringan,” tambahnya. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen