TIDAK semua daripada 4,036 kes Covid-19 dari kluster Teratai adalah daripada Top Glove Corporation Berhad, kata pengeluar sarung tangan terbesar dunia hari ini.
Kluster yang terbesar di Malaysia setakat ini, dikaitkan dengan premis Top Glove di Klang, Selangor.
Pengerusi Eksekutif Top Glove Lim Wee Chai berkata setakat hari ini, kira-kira 7,000 pekerja terdiri daripada warga tempatan dan warga asing menjalani ujian saringan Covid-19.
Menurut anggarannya, kira-kira 3,000 daripada 7,000 pekerja yang menjalani ujian disahkan positif.
“Terdapat kilang lain juga (yang terlibat dengan kluster Teratai) bukan Top Glove sahaja…Top Glove mungkin kira-kira 3,000 (adalah positif),” katanya pada sidang media.
Sebilangan besar pekerja Top Glove yang didapati positif tidak bergejala dan 500 daripadanya telah keluar dari hospital.
Kluster itu dikesan selepas sekumpulan pekerja menjalani ujian saringan pada 2 November yang perlu dijalankan sebelum berlepas. Penemuan 10 kes positif daripada ujian saringan itu membawa kepada pengesanan kontak rapat.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan berhubung keadaan asrama pekerja yang “teruk”, Lim berkata syarikat membelanjakan banyak wang untuk menambah baik kemudahan itu.
“Saya rasa beliau telah mengunjungi kami dua atau tiga bulan yang lalu. Ketika itu, beliau mengatakan semua kelihatan baik.
“Kami tidak tahu mengapa kini beliau beri kenyataan berbeza. Kami mengalu-alukan beliau melawat kami lagi,” kata Lim.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Top Glove Lee Kim Meow berkata, sejak lawatan Saravanan beberapa bulan lalu, syarikat itu telah menambah baik kemudahan penginapan berkenaan.
“Jadi amat mengejutkan apabila kenyataan itu dibuat. Kami perlu mengesahkan dengan kementerian untuk melihat bahagian mana yang kami tidak lakukan dengan betul dan bagaimana untuk menambah baik,” katanya.
Top Glove berkata pihaknya melabur puluhan juta sejak beberapa tahun lalu untuk kemudahan penginapan termasuk membeli 100 unit apartmen.
Tambahan pula, kawasan asrama pekerja dilengkapi kemudahan seperti ATM, kedai gunting rambut, pasar mini dan kantin bagi megurangkan keperluan pekerja untuk keluar.
Saravanan yang melawat premis berkenaan beberapa hari lalu memberitahu The Star keadaan asrama pekerja adalah menyedihkan.
Beliau turut memberi amaran tiada pihak yang akan terlepas sekiranya didapati melanggar undang-undang buruh.
“Saya melawat asrama dan mendapati keadaannya sangat teruk. Pegawai saya diarahkan untuk masuk kerana ia penempatan pekerja migran yang besar dan terdedah. Sekiranya kita tidak bertindak, kelompok ini mungkin tidak terkawal,” tambah menteri itu. – 25 November, 2020.
Komen