2 kawasan perumahan di Kedah dan Sabah dikenakan PKPD 


Aminah Farid

PKPD akan menyekat semua pergerakan keluar dan masuk di kawasan terbabit.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

KAWASAN perumahan di Sungai Seluang di Kulim dan Taman Telipok Ria di Tuaran Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKPD di kawasan terbabit akan bermula Jumaat hingga 10 Disember.

“PKPD di Sungai Seluang akan membabitkan 6,000 penduduk manakala di Taman Telipok 18,000 penduduk.

“Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan Kementerian Kesihatan berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

“PKPD akan menyekat semua pergerakan keluar dan masuk di kawasan terbabit dan akan memudahkan petugas kesihatan menjalankan ujian saringan ke atas penduduk,” katanya.

SOP bagi PKPD di kawasan terbabit sama sebagaimana yang dikenakan di kawasan lain sebelum ini, katanya.

Bagaimanapun, bagi kawasan perumahan Sungai Seluang, bekalan makanan akan disediakan oleh pusat kawalan bencana negeri kerana kedai di kawasan terbabit tidak dibenarkan beroperasi.

Sejak 22 November, 2,609 ujian saringan Covid-19 dijalankan ke atas penduduk di Taman Telipok Ria yang mana 253 didapati positif.

Ismail berkata, 581 individu lagi masih menunggu keputusan ujian.

Malaysia merekodkan 2,188 kes semalam, yang merupakan kes harian tertinggi sejak permulaan pandemik.

Angka jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan 58,847, termasuk 14,353 kes aktif. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen