SEBUAH pasukan tindakan khas sudah ditubuhkan untuk menguruskan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.
Kilang Top Glove yang merupakan sebahagian daripada Kluster Teratai kini adalah kluster terbesar di Malaysia. Setakat semalam, sejumlah 5,795 pekerja Top Glove menjalani saringan dengan 2,684 orang disahkan positif Covid-19.
Ismail berkata pasukan itu dianggotai Majlis Keselamatan Selangor, Jabatan Kesihatan, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Klang.
Kluster itu mula dikesan selepas sekumpulan pekerja asingnya menjalani saringan sebelum pulang ke negara mereka pada 2 November. 10 kes positif dikesan yang menyebabkan proses penjejakan kontak rapat digerakkan.
Kluster melibatkan kawasan asrama dan kilang di Meru itu sahaja menyumbang 1,511 daripada 1,623 kes yang direkodkan di Selangor, semalam, iaitu 93.1% daripada jumlah keseluruhan kes negeri.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk “bertindak sepenuhnya” bagi menghalang penularan virus dalam kluster yang berasal daripada kilang pengeluar sarung tangan getah dunia itu selepas lebih dua ribu pekerjanya positif Covid-19.
Saravanan yang melawat kilang Top Glove beberapa hari sebelum ini bersama-sama pegawai Jabatan Tenaga Kerja, berkata keadaan asrama pekerja itu tidak baik.
Semalam, Malaysia melaporkan 2,188 kes Covid-19, jumlah kes harian tertinggi pernah dilaporkan sejak wabak mula meledak di negara ini.
Hari ini pula, Malaysia melaporkan 970 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 59,817 dengan 12,971 kes aktif. – 25 November, 2020.
Komen