Umno perlu fikir kerusi boleh menang, bukan minta lebih banyak, kata Annuar


Ravin Palanisamy

Annuar Musa berkata ahli politik dan parti tidak boleh membuat tuntutan kerusi, kerana pengundi yang memberi mereka mandat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 November, 2020.

UMNO perlu fikirkan tentang kerusi boleh menang dan bukan hanya menuntut lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa.

Beliau berkata sekiranya Umno mampu mencapai konsensus dengan PAS dan Bersatu dalam agihan kerusi, maka ia boleh jangkakan untuk bertanding kerusi paling banyak.

Bagaimanapun, beliau pada wawancara Insight Talk berkata, lebih dari sekadar mahu kerusi, Umno mesti boleh menang di mana sahaja ia bertanding.

“Saya yakin insyaAllah kalau muafakat antara Umno-Pas dan juga Bersatu, saya fikir semua faham Umno yang akan bertanding kerusi yang paling banyak.

“Tetapi Umno juga kena tanya, jangan fikir soal nak banyak kerusi bolehkah kita menang banyak?

“Di Sabah, kita nak banyak (kerusi), orang bagi banyak, tapi akhirnya menangnya tak banyak,” kata Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan. 

Pada pilihan raya negeri Sabah yang diadakan 26 September, BN bertanding 31 kerusi yang mana hanya 14 dimenangi Umno.

Namun ia masih banyak berbanding Bersatu yang menang 11 kerusi. 

Kedua-dua parti berada di pihak yang sama dalam pilihan raya itu di bawah Gabungan Rakyat Sabah, yang menumbangkan kerajaan negeri Warisan Plus. 

Kenyataan Annuar mengenai rundingan kerusi timbul selepas wujud ketidakpuasan oleh pemimpin dan ahli Umno yang lain bahawa ia harus diberi lebih banyak kerusi kerana parti itu lebih besar, walaupun Bersatu adalah parti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beberapa pemimpin Umno turut lompat ke Bersatu selepas pilihan raya umum 2018. 

Annuar juga dilihat lebih menyokong Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional, sehinggakan dia dikritik oleh pemimpin Umno yang lain.

Beliau berkata ahli politik dan parti tidak boleh membuat tuntutan kerusi, kerana pengundi yang memberi mereka mandat.

“Kalau kita tengok siapa punya, itu tidak berapa tepat sebab kerusi ini rakyat punya.

“Di sesetengah tempat orang memilih satu parti, ada tempat yang bertukar-tukar (calon),...dan ada yang bertukar-tukar. 

“Jadi kerusi itu rakyat yang punya. Rakyat yang akan menentukan untuk memilih siapa,” katanya. 

Annuar berkata parti politik Melayu perlu melihat gambaran lebih besar dan bergabung daripada menimbulkan pertikaian dalam pengagihan kerusi. 

Katanya, undi Melayu berpecah pada pilihan raya umum lalu kerana parti-parti Melayu tidak bersatu dalam matlamat yang sama. 

“Untuk mengelakkan apa yang berlaku pada PRU14, penawarnya adalah mewujudkan muafakat dan penyatuan di kalangan parti politik orang Melayu.

“Ini adalah asas bagaimana Muafakat Nasional bermula dan ketika kita setuju, tentu ada yang harus memberi dan menerima, harus ada prinsip berbagi, dan ketika ada keperluan untuk berbagi, perkara-perkara tertentu harus dikorbankan,” katanya. merujuk kepada pakatan Umno dengan PAS. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen