PeKT tiada kaitan dengan Penggerak Komuniti Negara, kata menteri


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Banyak pihak yang mengkritik menyangka dana lebih RM2.6 juta akan disalurkan kepada NGO tersebut kerana nama kedua-duanya hampir sama, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

PENGGERAK Komuniti Tempatan (PeKT) tiada unsur politik dan tiada kaitan dengan NGO Penggerak Komuniti Negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau menjelaskan wujud salah faham kerana banyak pihak yang mengkritik menyangka dana lebih RM2.6 juta disalurkan kepada NGO tersebut kerana nama kedua-duanya hampir sama.

“Penggerak komuniti tempatan bukan Penggerak Komuniti Negara, itu NGO.

“Penggerak Komuniti Tempatan lahir dari dasar program Komuniti Negara ia sambungan program itu,” katanya semasa sesi penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Tambahnya, PeKT merupakan entiti yang dilantik oleh kementeriannya dan segala lantikan pegawainya dibuat mengikut prosedur yang betul dan saringan yang ketat.

Jelasnya penubuhan PeKT menjadi sebahagian inspirasi dari Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan Februari 2019 untuk memberdayakan komuniti pada golongan B40 di rumah flat.

Mengulas mengenai dana bagi program tersebut, Zuraida berkata ia bertujuan menampung perbelanjaan pengurusan dan program PeKT yang dijangka akan dilaksanakan setiap bulan.

Program terbabit pula tidak akan melibatkan aktiviti politik, katanya.

“PeKT yang melaksanakan program-program adalah tertakluk kepada Garis Panduan pelaksanaan program di mana program-program berbentuk politik adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Sebarang pelaksanaan program perlu mendapat kelulusan KPKT terlebih dahulu dan program yang dilaksanakan akan dipantau dan disahkan terlebih dahulu oleh pegawai sekretariat Muafakat Komuniti, KPKT di negeri berkenaan,” katanya.

Zuraida melalui jawapan bertulis kepada Wong Kah Won (Ipoh Timur-PH) di Dewan Rakyat berkata lebih RM2.6 juta dibelanjakan PeKT antara September dan Disember 2020.

PeKT hanya digerakkan di tiga negeri yang dikuasai Pakatan Harapan – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dan merangkumi 46 majlis kerajaan tempatan.

Penggerak Komuniti Negara pula merupakan badan masyarakat yang dianggotai bekas ahli PKR dan turut dikaitkan dengan Zuraida.

Ahlinya antara yang diserap masuk menyertai Bersatu ketika parti itu menerima keanggotaan Zuraida, Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya pada Ogos lalu.

Sejumlah RM8.6 juta dana untuk PeKT itu dikemukakan dalam Belanjawan 2021, yang menerima kritikan pembangkang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menuntut agar dana tersebut ditarik balik kerana hanya memberi kesenangan kepada kelompok menteri berkenaan.– 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen