PERUNTUKAN sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 akan dikurangkan, kata Saifuddin Abdullah.
“Saya boleh jamin peruntukan itu akan dikurangkan. Tetapi saya tidak boleh nyatakan berapa banyak.
“RM85.5 juta adalah berdasarkan anggaran kawasan Parlimen dan DUN tetapi kita menyasarkan hanya 160 daerah,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota menegaskan Jasa yang dijenamakan semula tidak akan dijadikan sebagai alat propaganda kerajaan.
“Bukan bawah bidang kuasa saya,” katanya.
“Apa yang berbeza ialah ini merupakan program baharu, dan ia bukan alat propaganda.
“Jadi, tolong jangan panggil Jasa, tapi panggil J-Kom.”
Menurutnya J-Kom adalah singkatan bagi Jabatan Komunikasi Komuniti dan fungsi utamanya adalah untuk berkomunikasi mengenai pandemik Covid-19.
“Sejajar dengan keperluan semasa, kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula Jasa sebagai J-Kom dengan peranan dan fungsi berbeza.
“Fungsi J-Kom juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (Japen) kerana tugas utama J-Kom pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik Covid-19,” katanya.
Tiga fungsi utama J-Kom adalah mewujudkan masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme.
“Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi,” kata Saifuddin.
Sementara itu, bekas menteri komunikasi dan multimedia Gobind Singh Deo (Puchong-PH) turut mempersoalkan penjenamaan itu.
“Bukankah kementerian mempunyai RTM, Bernama, Jabatan Penerangan, SKMM dan sebagainya?
“Mengapa jenamakan semula Jasa sedangkan kita tutupnya kerana ia adalah unit propaganda?
Gobind turut mempersoalkan peruntukan RM85.5 juta untuk Jasa/J-Kom sedangkan ramai kakitangan RTM tidak menerima elaun dan bayaran kerja lebih masa.
Saifuddin menjawab bahawa walaupun kerajaan mempunyai banyak agensi, mereka semua “tidak mencukupi”.
“Kami mencari pasukan pencerita. Ada banyak cerita Majlis Keselamatan Negara yang tidak keluar kerana kita hanya bergantung pada sidang media dan satu atau dua menteri,” tambahnya.
Menteri itu bagaimanapun enggan memberi jaminan bahawa pengambilan kakitangan J-Kom tidak akan “dicalonkan” oleh parti-parti politik ketika disoal oleh Teo Nie Ching (Kulai-PH).
“Saya tidak dapat menghentikan pencalonan tetapi mereka akan melalui proses permohonan dan temuduga yang biasa,” kata Saifuddin.
Namun Teo mengulangi pertanyaan itu dan bertanya: “Jika anda akan menggunakan sistem Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mengapa benarkan pencalonan?”
Sebelum ditutup oleh Pakatan Harapan pada 2018, Jasa diterajui oleh pemimpin Umno Dr Mohd Puad Zarkashi dan Tun Faisal Ismail Aziz.– 25 November, 2020.
Komen