KEMENTERIAN Pengajian Tinggi mempertimbangkan cadangan melanjutkan moratorium bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata menterinya Noraini Ahmad.
Beliau berkata cadangan melanjutkan moratorium yang sepatutnya berakhir hujung tahun ini akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan.
“Untuk moratorium yang ketiga, kementerian mengambil tindakan awal berbincang dengan agensi berkaitan termasuklah Kementerian Kewangan.
“Perkara ini akan dibawa untuk pertimbangan pihak kerajaan selanjutnya,” katanya dalam ucapan penggulungan semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN itu dilanjutkan untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober lepas bagi moratorium kedua.
Menurut Noraini, jumlah keseluruhan bayaran balik yang ditangguhkan bagi kedua-dua moratorium ini adalah sebanyak RM1.125 billion yang memanfaatkan 1.5 juta peminjam.
Namun pada masa sama sebanyak 422,609 peminjam masih meneruskan bayaran balik pinjaman berjumlah RM595 juta bagi tempoh April hingga Oktober 2020, katanya.
Mengulas mengenai peruntukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Belanjawan 2021, Noraini berkata ia nampak berkurangan kerana tidak termasuk dana pengurusan hospital universiti itu.
Ia berbeza untuk 2020, kerana universiti itu menerima RM1.86 bilion termasuk peruntukan hospital UiTM, katanya.
Beliau memberi jaminan, gaji untuk kakitangan akan tetap disalurkan dan pengurangan RM4 juta iakan ditampung dengan penjimatan dalaman yang akan dilaksanakan UiTM pada tahun ini.
“Jadinya kita akan tampung melalui penjimatan dalaman yang akan dibuat pada tahun ini dan kementerian juga ingin jelaskan bahawa kebajikan UiTM adalah menjadi keutamaan kepada KPT.
“Saya nak beri jaminan 100 peratus emolumen kakitangan akademik akan disalurkan dan jaminan gaji kakitangan kontrak akan dibiayai oleh kerajaan,” katanya.
Isu mengenai pemotongan dana UiTM dibangkitkan bekas menteri pendidikan, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik semasa perbahasan semalam. – 25 November, 2020.
Komen