
SEKTOR pembuatan merekod pemberhentian pekerja tertinggi sejak pandemik Covid-19 mula melanda pada Januari, kata M Saravanan.
“Menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), seramai 95,995 rakyat Malaysia diberhentikan kerja antara Januari hingga 13 November,” kata menteri sumber manusia dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Daripada jumlah tersebut, sektor memberhentikan seramai 21,782 (22.6%) pekerja, diikuti sektor perhotelan, makanan dan minuman (13,226 atau 14%), katanya.
Seramai 13,478 (13.7%) pula diberhentikan dalam sektor borong dan runcit, diikuti profesional dan teknikal (9,253), pengurusan dan khidmat sokongan (7,445), pembinaan (6,885) dan ICT (5,136).
Sektor pengangkutan pula memberhentikan 5,418 pekerja, manakala sektor kewangan dan insurans seramai 2,668 pekerja, diikuti hartanah (2,506), pendidikan (1,967) dan seni hiburan (1,436).
Ahli Parlimen Tapah itu menjawab pertanyaan Dr Azman Ismail (Kuala Kedah-PH) mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan tahun ini dan pecahannya mengikut sektor ekonomi.

Sementara itu, Saravanan berkata kadar pengangguran menurun dari 0.1% kepada 4.6% pada September berbanding Ogos.
“Berdasarkan laporan terkini, seramai 106,937 daripada 375,431 pekerja yang diberhentikan telah mendapat pekerjaan baharu melalui program MYFutureJobs.”
Pengambilan adalah dalam sektor perhotelan, makanan dan minuman; pengangkutan dan hiburan, katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Rubiah Wang(Kota Samarahan-GPS) berkenaan kadar pengangguran dalam negara. – 25 November, 2020.
Komen