MUHYIDDIN Yassin dilantik sebagai perdana menteri atas keputusan kolektif dan menjadi tanggungjawab gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi sokongan penuh, kata Annuar Musa.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata meskipun mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam PN, Umno tidak menuntut jawatan perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada Februari lalu.
“Berdasarkan pada persefahaman kita bersetuju untuk Dr Mahathir diganti dengan Tan Sri Muhyiddin, walhal bilangan kerusi Umno lebih banyak.
“Tapi Umno tak mintak sebab gabungan itu yang menjadikan kita berjaya menjatuhkan kerajaan yang dahulu.
“Jadi apabila kita sudah angkat seseorang itu menjadi perdana menteri, adalah menjadi tanggungjawab kita memberi sokongan,” katanya dalam wawancara dengan The Insight Talk malam tadi.
Annuar memberi contoh Dr Mahathir yang dilantik sebagai perdana menteri walaupun Bersatu di bawah pimpinannya adalah parti terkecil dalam Pakatan Harapan (PH) ketika gabungan itu menang PRU14.
“Bila coalition (gabungan), itu bergantung kepada understanding (persefahaman), bukan lagi siapa ramai.
“Kalau kita tengok parti Dr Mahathir paling kecil, tapi dia jadi perdana menteri. Angka tak menjadi soal lagi sebab ada kepercayaan, ” jelasnya.
Ahli Parlimen Ketereh itu diwawancara menerusi Insight Talk menjelang pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka esok.
Sejak Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November lalu, ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tidak berganjak dengan pendirian masing-masing supaya ia dipinda, antaranya melanjutkan moratorium pinjaman bank dan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000 sekali gus, bukan secara ansuran.
Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menasihatkan semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 demi rakyat dan negara yang sedang mengharungi krisis Covid-19.
Muhyiddin perlu meletak jawatan sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
Bercakap mengenai calon perdana menteri dari Umno, Annuar berkata apa yang penting ketika ini ialah Umno perlu dibina untuk menjadi parti yang kuat dan mendapat sokongan rakyat.
“Kalau kita mendapat dukungan dari rakyat, jumlah kerusi yang kita menang banyak, dan juga kerana kita bekerjasama dengan ramai parti-parti lain, maka bila sampai masanya dan ada orang yang sesuai dengan kedudukannya, saya yakin Umno akan kembali mempunyao calon perdana menteri.” – 25 November, 2020.
Komen