BEKAS setiausaha agung Umno Annuar Musa menafikan akan menyertai Bersatu dan menegaskan akan kekal sebagai orang kuat partinya.
Beliau mengumpamakan sikapnya seperti seorang lelaki yang kekal kepada seorang isteri dan tidak berhasrat untuk bernikah dengan lebih ramai individu.
“Kalau seorang pun kita tidak mampu, maka tidak perlulah kita bercita-cita besar. Orang lama dalam Umno tahu siapa saya tetapi ahli baharu, mereka boleh fikir sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan ke atasnya kerana lebih cenderung mempertahankan parti Bersatu berbanding partinya sendiri.
Ini kerana kenyataan beliau tidak mengikut sentimen dari akar umbi dan pemimpin Umno yang berang dengan dominasi Bersatu ke atas parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Annuar seterusnya menjelaskan beliau tetap setia ketika parti itu melalui pelbagai krisis dan tidak akan meninggalkan Umno apabila berdepan masalah sekali lagi.
Menteri Wilayah Persekutuan itu antara lain dikritik pemimpin Umno Perak, Nazri Aziz yang menyelar beliau kerana didakwa lebih mesra dengan PN.
Beliau turut dikritik bekas timbalan menteri Puad Zarkashi kerana tetap mempertahankan gabungan PN yang dipimpin Bersatu.
Parti dalam gabungan PN juga mengancam untuk menarik sokongan dan beberapa ahli Dewan Rakyat dari parti itu sudahpun memfailkan usul tidak percaya ke atas Muhyiddin.
Pemimpin Umno, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi kini lantang menggesa agar ujian dijalankan terlebih dahulu untuk menentukan majoriti sokongan ke atas Muhyiddin.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah juga enggan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selagi majoriti dikuasai Muhyiddin tidak dijelaskan terlebih dahulu.
Wakil rakyat parti itu juga mahu pindaan terutamanya dalam isu lanjutan moratorium dan pengeluaran simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Sekurang-kurangnya 25 usul tidak percaya dan dua usul percaya difailkan di Dewan Rakyat, namun masih dihalang oleh speaker.– 24 November, 2020.
Komen