ENAM penyeludup warga Thailand ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, awal pagi tadi yang menyebabkan seorang anggota terbunuh manakala seorang lagi parah, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Hamid berkata empat warga Thailand itu ditahan oleh polis Thai di dua hospital di Selatan Thailand, manakala dua lagi suspek ditahan polis Malaysia berhampiran sempadan.
“Dalam kejadian itu, seorang anggota kita terbunuh dan seorang lagi cedera. Empat penyeludup turut ditembak dan cedera. Mereka mendapatkan rawatan di hospital di Songkhla dan Hatyai.
“Oleh kerana kecederaan mereka, doktor kemudian menghubungi polis dan mereka ditahan kerana ada kaitan dengan insiden tembakan.
“Anggota komando dari pasukan VAT69 dan unit Senoi Praq turut menahan dua suspek penyeludup, di sempadan kita yang mengaku turut terlibat dengan kumpulan yang terbabit dalam insiden tembakan itu,” kata Abdul Hamid pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Koperal Baharuddin Ramli meninggal dunia di tempat kejadian manakala Koperal Norihan Tari cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis selepas berbalas tembakan dengan 15 lelaki dipercayai penyeludup.
Siasatan mendapati kedua-dua anggota terbabit menjalankan kerja intipan ketika bertembung dengan dua kumpulan penyeludup dipercayai warga Thailand.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi di sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis.
Abdul Hamid berkata penyeludup terbabit cuba membawa daun ketum dan ubat batuk ke Thailand ketika bertembung dengan Baharudin dan Norihan.
“Mereka tidak jangka akan bertembung dengan Baharudin dan Norihan. Oleh kerana terkejut melihat dua anggota polis, mereka mula melepaskan tembakan dan kedua-dua anggota terbabit membalas tembakan.
“Bagaimanapun, kedua-dua anggota hanya membawa pistol kerana mereka sedang membuat intipan berhampiran sempadan.”
“Norihan berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan namun Baharudin gagal. Norihan ditembak tiga kali, di perut dan dada manakala Baharudin maut terkena tembakan di dada dan abdomen,” kata Abdul Hamid. – 24 November, 2020.
Komen