Menteri, timbalan menteri BN sokong penuh Muhyiddin 


BN hari ini menegaskan akan memberi sepenuhnya sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

ANGGOTA pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) hari ini berkata akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Mohd Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat. 

Bagaimanapun menegaskan mahu pilihan raya umum diadakan sebaik sahaja wabak Covid-19 reda, kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Kami juga telah bersetuju agar kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuklah dengan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

“Untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, kami berpendapat Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam
mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas,” kata mereka. 

Menteri dan timbalan menteri itu berkata pandemik yang berlaku memberi impak negatif kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat. 

Oleh itu, mereka menyatakan negara memerlukan kerajaan yang stabil untuk memastikan proses pemulihan dapat berlangsung dengan teratur.

“Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Ini juga adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021,” kata mereka.

Kenyataan dikeluarkan oleh 11 menteri dan 9 timbalan menteri BN yang menganggotai kerajaan Muhyiddin.

Pengumuman itu dibuat menjelang pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis. 

Sebelum ini, BN meletakkan dua syarat – pengeluaran dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lanjutan moratorium pinjaman – sebagai syarat untuk menyokong belanjawan. 

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dua kosong susulan kematian wakil Batu Sapi dan Gerik, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan.

Muhyiddin mempunyai sokongan 112 ahli Parlimen sementara pembangkang 108, termasuk ahli Parlimen bebas. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen