PENINGKATAN mendadak kes Covid-19 adalah berkaitan dengan kluster tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata terdapat 119 kluster tempat kerja di negara ini yang mana 39 diisytiharkan tamat manakala 83 masih aktif.
“Kita telah menjalankan saringan terhadap 77,201 individu dan 12, 079 daripadanya disahkan positif. Ini melibatkan 4,398 rakyat Malaysia dan 7,681 bukan warga asing,” katanya.
Menurutnya, kluster Teratai di Klang merekodkan 4,035 kes positif, Damanlela di Petaling Jaya (1,539 kes), Cergas di Lembah Klang dan Negeri Sembilan (1,337 kes), kluster Hentian di Lembah Klang (1,101 kes) dan Kaya di Lembah Klang, Johor, Kelantan dan Perak (900 kes).
Dr Noor Hisham berkata terdapat 167 kluster aktif di negara ini termasuk kluster tempat kerja.
“Sehingga 24 November, kita merekodkan 334 kluster dan kini terdapat 167 kluster aktif. Daripada jumlah ini 36 kuster merekodkan peningkatan kes jangkitan harian pada Selasa sahaja.
“Kluster yang merekodkan peningkatan adalah Teratai (1,511 kes), Tembok (103 kes) dan Bintang (69 kes).
“Hanya satu kluster tamat hari ini iaitu kluster Bah Layangan di Labuan,” tambah Dr Noor Hisham. – 24 November, 2020.
Komen