PERSATUAN Peguambela Sarawak (AAS) mahu kerajaan persekutuan dan Jabatan Peguam Negara melanjutkan tempoh Dewan Undangan Negeri sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19 dan masalah untuk mengadakan pilihan raya dengan selamat.
Presiden AAS Ranbir Singh Sangha berkata pihaknya setuju dengan Adun Layar Gerald Rentap Jabu pada 11 November lalu mencadangkan lanjutan tempoh DUN sehingga 6 tahun atau sehingga Parlimen dibubarkan, yang mana terdahulu.
Cadangan Jabu untuk meminda perlembagaan persekutuan dibuat sebagai maklum balas kepada pandemik Covid-19.
“Bagi mengelakkan gelombang baharu Covid-19 di seluruh negara, AAS menggesa kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan rang undang-undang di Parlimen untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan lanjutan tempoh Dewan Undangan Negeri.
“AAS berpandangan kemampuan untuk menentukan bila masa yang sesuai untuk bubar DUN dan mengadakan pilihan raya adalah komponen asas hak Sarawak.
“AAS akan membuat representasi kepada kerajaan persekutuan dan Jabatan Peguam Negara Sarawak bagi memastikan perlindungan yang diperlukan untuk memelihara demokrasi disediakan untuk pindaan tersebut,” kata Ranbir dalam satu kenyataan.
Tambahnya pindaan yang akan dibuat hanya bersifat sementara, seperti yang dilakukan sebelumnya pada tahun 1968, ketika tempoh penggal Majlis Negeri dipanjangkan berakhir bersama dengan Parlimen pada tahun1969, melebihi tempoh masa 5 tahun sebagaimana kebiasaan. – 24 November, 2020.
Komen