KEMENTERIAN Pertahanan mahu melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sebelum ini dimansuhkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan, kata Menterinya Ismail Sabri Yaacob.
Kertas memorandum cadangan menghidupkan semula PLKN akan diangkat untuk kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri.
“Program PLKN dimansuhkan pada 2018 namun berdasarkan kesan program yang baik dalam pembentukan patrotisme remaja yang telah menyertai program ini, pihak kementerian akan cadangkan semula kepada jemaah menteri agar projek ini dilaksanakan semula.
“Ia juga bersesuaian dengan perintah menteri menteri kerajaan persekutuan tahun 2020 meletak semula Akta Latihan Khidmat Negara di bawah Kementerian Pertahanan,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran Barisan Nasional bertujuan untuk memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.
Ia bagaimanapun dimansuhkan oleh pentadbiran PH, serentak dengan pemansuhan Biro Tata Negara (BTN) pada Ogos 2018 bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan. – 24 November, 2020.
MENYUSUL
Komen