HARGA saham Top Glove Corp Bhd turun 55 sen atau 7.48% jatuh kepada RM6.80 hari ini selepas berita penutupan sementara kilang mereka di Klang berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.
Pada jam 10.51 pagi, saham bagaimanapun kembali naik sedikit untuk didagangkan pada nilai RM6.87, dengan 43.91 juta saham bertukar tangan.
Pembuat sarung tangan terbesar di dunia itu semalam berkata bahawa mereka telah menghentikan pengeluaran di 16 kilang di Meru, Klang sejak 18 November.
Sementara itu baki 12 kilang juga beroperasi Meru beroperasi dengan kapasiti jauh lebih rendah.
“Merujuk kepada pengumuman oleh menteri kanan, Top Glove akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berwajib untuk melaksanakan pemberhentian sementara kilang di Meru, Klang,” katanya kepada bursa saham.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam berkata sebanyak 28 kilang Top Glove di zon perindustrian Kapar di Klang akan ditutup secara berperingkat setelah mencatat jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi.
Antara yang paling terjejas adalah asrama pekerja yang telah ditempatkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatan (PKPD).
Top Glove berkata sehingga kini mereka sudah memeriksa kira-kira 5,700 pekerja di asrama.
“Kami komited untuk meneruskan ujian saringan Covid-19 yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas pekerja dan kakitangan kilang kami di Meru, Klang,” katanya.
Syarikat itu berkata bahawa pembasmian kuman sedang dilakukan di premis dan asrama serta semua langkah pencegahan dilakukan dengan ketat.
Syarikat pembuat sarung tangan itu dikaitkan dengan kluster Teratai yang menyumbang 1,067 daripada 1,884 jangkitan di negara ini semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata penutupan kilang akan membolehkan pihak berkuasa menyaring keseluruhan 13,000 pekerja di 28 premis berkenaan.
Beliau berkata sebanyak 2,524 kes sudah dikesan daripada 5,767 orang yang diperiksa setakat ini yang kebanyakannya melibatkan pekerja asing. – 24 November, 2020.
Komen