BN perlu utama ahli untuk kembali kuat, kata Hishammuddin


Barisan Nasional perlu mengutamakan 'rumah tangga sendiri' sebelum fikir hubungan lain, kata Hishamuddin Hussein. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

BARISAN Nasional (BN) perlu mengutamakan kepentingan penyokongnya di akar umbi terlebih dahulu untuk kembali kuat dan terus relevan dalam kalangan rakyat, kata Bendaharinya Hishammuddin Hussein.

Kepentingan penyokong dan rakyat itu malah lebih utama berbanding hubungan BN dengan mana-mana parti lain, katanya.

“Apa yang penting akhirnya kita ada penyokong di akar umbi untuk diberikan keutamaan sebelum memikirkan hubungan dengan orang lain, kita perlu fikirkan tentang rumah tangga kita terlebih dahulu,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, malam tadi.

Jelas beliau, sebagai sebuah parti politik nasib BN ditentukan oleh penyokongnya di akar umbi dan rakyat yang akan menilai sejauh mana parti itu memahami aspirasi dan kehendak mereka.

“Kalau kita tidak faham maka tak lamalah kita memimpin,” tambahnya.

Hishammuddin juga berkata BN perlu menunjukkan kepimpinan dan keikhlasannya kepada rakyat berbilang kaum, yang selama ini menjadi tunggak kekuatannya.

“Kalau itu kita dapat buktikan kepada rakyat, saya rasa BN boleh keluar daripada keadaan hari ini kepada keadaan yang lebih kuat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC S Saravanan berkata BN dalam mesyuaratnya malam tadi setuju untuk melakukan satu rancangan khas bagi memastikan parti kekal relevan.

“Ini termasuk mendengar perasaan ahli-ahli di akar umbi, apakah pendirian dan harapan mereka dan memastikan kita mendengar aspirasi ahli-ahli parti,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2021 yang dijangka diundi pada Khamis ini, Hishammuddin berkata BN kekal dengan pendirian yang diumumkan sebelum ini, iaitu sokongan bersyarat.

“BN dah buat keputusan, parti dah buat pendirian, saya tidak tahu apa akan berlaku Khamis (penggulungan Belanjawan 2021) ini.

“Ikut perkembangan terkini, saya tengok tiada perubahan, apa yang ditegaskan dan diumumkan oleh parti,” katanya.

Ditanya sekiranya “sesuatu berlaku” pada Khamis, Hishammuddin berkata perkara itu akan diputuskan apabila sampai masanya.

Beberapa jam sebelum mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dipetik berkata kerajaan ada masa sehingga Khamis untuk memenuhi tuntutan BN.

BN membuat dua tuntutan sebagai syarat untuk menyokong cadangan belanjawan kerajaan – pengeluaran sekali RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman bank. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen