PELAWAT yang tiba di England boleh menjalani tempoh kuarantin lebih singkat bermula pertengahan Disember sekiranya mereka disahkan negatif Covid-19 pada hari kelima selepas ketibaan, umum kerajaan UK pada Selasa.
Peraturan baharu itu diharapkan akan merangsang semula industri pelancongan yang terjejas teruk terutama sektor penerbangan disebabkan sekatan perjalanan sepanjang pandemik.
Pelawat yang tiba di England melalui udara, feri atau kereta api bermula 15 Disember boleh menamatkan kuarantin mereka jika disahkan negatif Covid-19 sekurang-kurangnya lima hari selepas ketibaan.
Buat masa sekarang, mereka dihendaki menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
Penumpang perlu menempah saringan dan kuarantin swasta sebelum ketibaan. Mereka yang memilih untuk tidak menjalani ujian perlu melakukan kuarantin kendiri dua minggu.
“Strategi saringan baharu kita akan membolehkan kita berjalan dengan lebih bebas, melawat orang kesayangan dan memacu perniagaan antarabangsa,” kata Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps.
“Dengan memberikan pilihan untuk disaring pada hari kelima, kita juga akan menyokong industri pelancongan yang sedang berusaha keluar daripada pandemik.”
Kerajaan UK menetapkan dasar pengangkutan untuk England. Pentadbiran sendiri di Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkannya sendiri.
London mengubah strategi selepas bukti mendapati ujian selepas lima hari kuarantin kendiri “menyediakan keputusan lebih baik” berbanding ujian hari ketibaan.
Strategi itu juga disokong oleh pelan sokongan kewangan untuk lapangan terbang komersial di England.
“Industri penerbangan penting untuk ekonomi kita- membentuk pekerjaan dan memacu pertumbuhan,” kata Menteri Kewangan Rishi Sunak.
“Pakej sokongan baharu untuk lapangan terbang, bersama-sama rejim saringan baharu untuk ketibaan antarabangsa, akan membantu sektor bangkit semula daripada pandemik.”
Britain melaporkan lebih 55,000 kematian Covid-19, angka tertinggi di Eropah. – AFP, 24 November, 2020.
Komen