Pada November, harga makanan dan barangan di 5 negeri melonjak


Sheridan Mahavera

Harga barangan seluruh negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (CPI) juga meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

TREN peningkatan harga berterusan apabila pada November tahun ini harga makanan di lima buah negeri lebih tinggi berbanding kadar purata nasional, sebelum ini beberapa kumpulan pengguna memberikan amaran yang situasi ini akan terjadi pada musim tengkujuh.

Harga barangan seluruh negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (CPI) juga meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jabatan Perangkaan mengatakan CPI yang memantau harga lapan jenis barangan meningkat 3.4% kepada 120.8 pada November 2017 berbanding 116.8 pada November 2016.

Harga untuk makanan dan minuman bukan beralkohol, komponen yang membentuk satu pertiga daripada skor CPI pula naik 4% pada November 2017 berbanding bulan sama pada 2016.

Berdasarkan penyelarasan penggal bermusim, CPI keseluruhan untuk November 2017 meningkat 0.7% berbanding Oktober 2017.

Komponen yang mencatatkan peningkatan paling banyak pula adalah pengangkutan yang naik 10.8% pada November 2017, situasi yang banyak dipengaruhi oleh peningkatan harga petrol.

Harga purata seliter RON95 adalah RM2.30 pada November 2017 berbanding RM1.95 pada November 2016.

“Dalam aspek CPI keseluruhan, lima negeri melebihi kadar CPI nasional iaitu 3.4% iaitu di Johor, Melaka, Kedah & Perlis, Selangor & Putrajaya dan Pulau Pinang,” kata Jabatan Perangkaan Malaysia lagi.

CPI untuk makanan dan minuman bukan beralkohol di lima buah negeri juga lebih tinggi berbanding 4% kadar purata nasional pada November 2017.

Johor mencatatkan kadar tertinggi sebanyak 4.7%, Kuala Lumpur 4.6%, Melaka 4.4%, Kedah & Perlis sebanyak 4.3% dan di Selangor dan Putrajaya kadarnya adalah 4.1%.

Peningkatan harga makanan banyak dipandu oleh kumpulan-kumpulan tertentu seperti ikan dan makanan laut (+7.6%), buah-buahan (+4.2%), sayur-sayuran (+3.2%) dan daging (+2.9%).

Harga sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan telah meningkat 300% sejak beberapa minggu lepas…disebabkan musim tengkujuh yang sedang berlaku,” kata Presiden CAP SM Mohamed Idris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

Kategori baru, makanan di luar rumah pula mencatatkan peningkatan 5% pada November 2017.

Misalnya, ikan kembong berharga RM14.03 sekilo pada November 2017 berbanding RM12.52 sekilo pada Novembr 2016, cili RM14.24 sekilo berbanding RM12.80 sekilo, dan ayam  RM8.56 sekilo berbanding RM8.34 sekilo pada tempoh sama tahun lepas.

Beberapa produk menyaksikan penurunan harga pada November 2017 berbanding November 2016. Ini termasuklah tomato yang berharga RM4.83 sekilo berbanding RM4.91 sekilo dan choy sum yang kini berharga RM4.47 sekilo berbanding RM4.65.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menggantung eksport ikan dan sayur-sayuran ketika musim tengkujuh kerana ia boleh menurunkan harga.

CAP berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) wajar menghentikan eksport bagi memenuhi keperluan dalam negara ketika musim tengkujuh.

“Harga sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan telah meningkat 300% sejak beberapa minggu lepas…disebabkan musim tengkujuh yang sedang berlaku,” kata Presiden CAP SM Mohamed Idris.

Seorang pakar dasar makanan, Dr Yusof Saari menyalahkan harga tinggi kepada monopoli, ringgit yang lemah dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang melonjakkan harga lebih tinggi berbanding kadar inflasi nasional.

Memandangkan peningkatan harga berlaku sedangkan kenaikan gaji lembap, pengguna akan terus dibebankan dengan peningkatan kos sara hidup, kata Yusof dari Institut Kajian Dasar Pertanian & Makanan (IDKM), Universiti Putra Malaysia. – 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen