MALAYSIA mencatatkan kes jangkitan baharu Covid-19 tertinggi dengan 1,884 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes 56,659.
“Daripada jumlah kes baharu ini, hanya dua kes import manakala baki 1,882 adalah penularan tempatan,” katanya pada sidang media hari ini.
Jumlah kes aktif kini adalah 13,842 yang mana 115 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 48 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kes baru hari ini juga mengatasi jumlah kes pulih, iaitu 883. Jumlah kumulatif kes pulih kini 42,480.
Dua kematian turut dilaporkan menjadikan angka kematian keseluruhan 337 orang. Kematian itu melibatkan seorang lelaki berusia 80 tahun dan seorang wanita berusia 58 tahun, kedua-duanya di Sabah.
Selangor menyumbang kes tertinggi dengan 1,203 diikuti dengan Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing 289 dan 196 kes.
Di Selangor, jumlah kes tertingi adalah daripada kluster Teratai iaitu 1,067 atau 76.2% daripada kes jangkitan hari ini.
Kluster Teratai berkait dengan asrama pekerja kilang pembuat sarung tangan Top Glove Sdn Bhd di Klang.
Kerajaan hari ini mengumumkan 28 kilang Top Glove di Klang akan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan ujian saringan Covid-19 dijalankan selepas lebih 1,000 kes jangkitan dilaporkan dalam kalangan pekerjanya.
Sementara itu, sebahagian besar kes di Kuala Lumpur adalah daripada kluster tapak pembinaan Damanlela, iaitu 101 kes.– 23 November, 2020.
Komen