28 kilang Top Glove di Klang ditutup untuk ujian saringan Covid-19


Alfian Z.M. Tahir

Petugas kesihatan merekodkan maklumat pekerja warga asing di asrama kilang Top Glove di Meru, Klang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

28 buah kilang Top Glove di zon perindustrian Kapar di Klang akan ditutup secara berperingkat selepas merekodkan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. 

Hari ini sahaja, lebih seribu kes direkodkan melibatkan kilang pembuatan sarung tangan dan asrama pekerja, katanya pada sidang media hari ini. 

“Asrama pekerja lelaki dan wanita kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun kami dapati kes positif naik mendadak. 

“Hari ini sahaja terdapat 1,067 kes positif. Setakat hari ini juga, pihak berkuasa telah menjalankan saringan ke atas 5,794 individu dan 1,889 daripadanya didahkan positif.

“Oleh itu, kami bersetuju untuk menutup kesemua 28 kilang secara berperingkat bagi membolehkan ujian saringan dijalankan dan juga untuk kuarantin,” kata Ismail Sabri. 

PKPD dikuatkuasakan di asrama pekerja kilang Top Glove dari 17 Noveber hingga 30 November, membabitkan penghuni di asrama Jalan Abadi 1A / 8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A / KU8, selepas 215 kes Covid-19 dikesan di asrama berkenaan. 

PKPD juga dikuatkuasakan selepas kira-kira 200 pekerja warga asing disahkan positif wabak itu. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen