PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mungkin akan dilanjutkan sehingga hujung tahun ini sekiranya kes Covid- 9 masih terus meningkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof.
Jelas beliau, kawalan pergerakan bagi membendung penularan pandemik itu dilaksana berdasarkan penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan bagi setiap kawasan.
“Penilaian ini mengambil kira jumlah kes Covid-19 dan kadar jumlah keberjangkitan dalam lokaliti tersebut dari masa ke masa.
“Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk mengenakan PKPB sehingga hujung tahun ini sekiranya terdapat peningkatan kes,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Setakat Sabtu lalu, PKPB kekal di seluruh negara kecuali Melaka, Pahang, Terengganu serta sebahagian Kedah, Johor, dan Sarawak. Ia dikuatkuasakan di Kelantan sejak kelmarin.
PKPB mula dikuatkuasa di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 9 November hingga 6 Disember ini.
Pelaksanaan PKPB ini dibuat selepas berlakunya peningkatan mendadak kes Covid-19 di beberapa negeri, yang kebanyakannya bermula dari jangkitan di Sabah pada hujung September.
Selain itu menjawab soalan mengenai mengenai potongan gaji dari 10% hingga 30% di kalangan menteri dan timbalan menteri, Redzuan berkata, perkara itu dilakukan oleh kerajaan PN.
Beliau berkata menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama dua bulan iaitu kira-kira bersamaan 25% potongan setiap tahun daripada gaji mereka.
“Kalau kita lihat kerajaan PN telahpun tidak mengambil gaji selama dua bulan. Ini bersamaan lebih kurang 25% potongan setiap tahun.
“Jadi saya rasa kita amat peka dengan keadaan ekonomi negara dan kita telah melaksanakan tanggungjawab kita untuk memotong gaji menteri, timbalan menteri juga menteri kanan,” katanya.
Pada masa sama beliau turut menolak dakwaan saiz kabinet yang mempunyai 72 anggota sangat besar tidak sesuai ketika negara berdepan cabaran ekonomi akibat Covid-19.
Beliau menegaskan tuduhan itu adalah salah kerana jumlah kabinet hanyalah 32 anggota saja kerana ia hanya melibatkan menteri sahaja dan tidak ada banyak perbezaan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
“Saiz kabinet tidak ‘bloated’ tidak ada keperluan pun untuk dikurangkan saiz , kabinet ini cuma berbeza sikit saja dengan pentadbiran PH,” katanya. – 23 November, 2020.
Komen